Layari Laman Kami:

22.10.09

"Couple": Ada Cara Islamik kah?

Cinta Kampus : Matlamat Halalkan Cara
www.iluvislam.com
Tuan Mohd Reza
Editor: RosNiza Abdullah

Matlamat salah cuba menghalalkan cara.


Melalui hidup sebagai remaja, hidup di universiti yang berjauhan daripada ibu bapa, sedikit sebanyak, tempiasnya akan terkena juga. Terlalu banyak dugaan dalam cinta siswa siswi dan tidak semudah kata-kata untuk memelihara diri. Kehidupan di kampus yang jauh daripada pengawasan keluarga menyebabkan diri mudah terpedaya dengan ajakan nafsu.

Bagi mereka yang sudah terjebak, bukan mudah untuk membuat keputusan yang rasional di saat emosi dan perasaan sedang berkecamuk. Kalau ambil keputusan untuk berpisah, adakah masih ada lelaki lain yang seperti dia? Kalau diteruskan hubungan ini, sanggupkah aku menanggung dosanya?

Tiada siapa yang akan menolong aku kalau bukan aku. Kekuatan itu mesti bangkit daripada dalaman diri sendiri. Jika niat itu sudah nekad, Allah Taala akan permudahkan jalan itu.

Inilah dunia sekarang yang penuh dengan kekeliruan dan jauh daripada penghayatan Islam sebenar. Masing-masing menggunakan agama sebagai pasport untuk membuat kebaikan daripada kaca mata mereka sendiri bukannya apa yang telah digariskan oleh Allah Taala dan Rasul.

Walaupun pada awalnya kita berniat hendak melakukan sesuatu yang baik, tapi mudah sungguh syaitan dan nafsu memesongkan niat suci itu dalam pelbagai cara yang cukup kreatif. Rasanya ramai remaja merasakan perlu kepada teman lelaki atau perempuan yang berlainan jantina merupakan satu ‘keperluan’ untuk rasa sempurna. Tempiasnya terkena juga kepada golongan remaja khususnya siswa dan siswi yang nampak komited pada kerja-kerja dakwah.

Sememangnya manusia lebih terdedah kepada kebaikan yang adakalanya mengaburi mata mereka, walhal perkara itulah sebenarnya yang mengundang malapetaka buat diri mereka sendiri. Begitu payahnya kita mahu membezakan perkara yang baik dan yang benar-benar baik. Apabila kita sudah terhantuk barulah kita baru terngandah itulah sebenarnya kesilapan.

Mereka tahu mereka hidup dalam dosa dan kesalahan, cuma yang penulis tidak faham bagaimana mereka boleh rasa sayang untuk lepaskan pasangan semata-mata mereka rasa dalam perhubungan mereka masih ada kebaikan, bersandarkan kepada sms tazkirah, suruh bangun tahajjud. Bagaimana mereka memandang dan menilai kebaikan?



MATLAMAT HALALKAN CARA

Penulis rasa gusar memandangkan beberapa kes yang banyak berlaku di kalangan mereka ingin membawa Islam, tetapi akhlak pergaulan muslimah dan muslimin tidak dijaga.

Hanya berbekalkan perkataan yang berbentuk perbincangan, jihad, tazkirah, dan mengejutkan untuk ber-tahajjud, sinonim dengan perbincangan berbau Islam mereka anggap hubungan mereka ini sudah diredhai walaupun hanya sekadar bertelefon, sms, e-mail dengan luahan perasaan cinta masing-masing.

Tambahan lagi pengaruh nasyid temporari kini yang hangat mengutarakan lagu cinta sesama muslim menjadi penghangat cinta bagi mereka yang menghalalkan cara.

Segala-galanya adalah mainan perasaan yang kerap melihat kebaikkan di dalam dosa itu, dan amat jarang bagi kita untuk bermuhasabah di atas kebaikkan-kebaikan yang kita sangkakan telah dilakukan. Memanglah alam remaja, teramat indah jika ada orang lain yang sentiasa caring ke atas kita, tetapi percayalah ianya hanyalah khayalan sementara kerana selepas hidup bersama barulah kita tahu kelemahan dan keburukan pasangan masing-masing.

Bila anak-anak sudah bertambah dan kesibukan hidup pun juga bertambah, hilanglah segala impian-impian dan angan-angan terdahulu.

Kepada adik-adik remaja, khususnya mereka yang di bangku menara gading, jauhilah maksiat ber-couple atau apa sahaja perlakuan mungkar kerana semuanya itu saling membuktikan kepada Allah Taala bahawa kalian berdua amat berani mendurhakai Allah Taala. Rumahtangga dibina bukan hanya atas cinta, tetapi juga pada saling mempercayai.

Jika Allah sudah diingkari, siapa lagikah yang boleh dijadikan tempat meletakkan kepercayaan? Dosa semalam akan pasti menjadi kecurigaan hari ini, esok dan selamanya.

Muhasabahlah kalian.



HAYATI AJARAN ISLAM SEBENAR

Kita bincang pasal manusia, naluri manusia suka dicintai dan mencintai, hati pula kalau sentiasa senang akan menjadi bosan tapi kalau sentiasa susah hati akan menjadi rawan, nafsu adalah kelemahan manusia. Barang siapa berjaya menundukkan nafsu, martabatnya akan menyaingi malaikat, kalau ditundukkan oleh nafsu akan turun lebih rendah daripada binatang.

Memang susah merubah seorang musuh menjadi kawan, kemudian menjadi sahabat, memadamkan kemarahan hati dan merubah muka marah dengan senyum, memberi maaf kesalahan sehingga udara yang tadinya mendung menjadi terang benderang. Memang susah melakukan itu, dan ini hanyalah pekerjaan orang yang berhati waja, mempunyai kemahuan yang besar dan bercita-cita mulia.

Namun sedar atau tidak, takwa kepada Allah Taala adalah yang perlu ditekankan. Betapa beratnya balasannya andai kita tersilap langkah dan akhirnya terjerumus ke arah maksiat yang pastinya kita semua maklum tentang balasan Tuhan.

وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُواْ فِينَا لَنَہۡدِيَنَّہُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang berusaha (berjihad) dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan kami, dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya” al-Ankabut (29:69)

Usahlah berlengah lagi untuk berhijrah, andai sudah terdetik dalam hati bahawa perlakuan kalian buat ini adalah salah dan dilaknat Allah Taala, segeralah berhijrah kerana teramat khuatir andai hanya kali ini sahaja peringatan Allah Taala datang untuk menegur kita dan kita pula tidak mengendahkannya, kita akan terus hanyut dengan dosa kita sampai ke akhir hayat kita.

Perlakuan matlamat menghalalkan cara mengelabui mata.

Perintah itu wajib.

Berjihadlah dalam mencari cinta yang suci iaitu cinta selepas pernikahan. Mengapa mencari kaca andai telah dijanjikan permata, dan mengapa mencari api yang membakar kalau sudah dijanjikan salju dingin. Bersabarlah untuk sesuatu yang lebih manis pada masa akan datang.

Jika kita mencari redha Allah dengan kemarahan manusia, nescaya dicukupkan Allah dengan keredhaannya , jika kita mencari kemarahan Allah dengan keredhaan manusia nescaya Allah Taala serahkan kita kepada manusia.

Mua’dz ra berdoa sebelum kematiaannya: “Aku mencintai hidup hanya untuk tiga perkara iaitu untuk berpuasa di siang hari, untuk qiammullail di malam hari dan untuk berkumpul dengan para ulama”.

Carilah kesibukkan di antara terlopong masa dengan pekerjaan, daripada sesenang pekerjaan yang dikira ibadat yang boleh menghasilkan pahala. ameen


Source:
taken from
original article

Continue Reading...

21.10.09

KERJAYA DOKTOR- PLATFORM TERBAIK UNTUK BERDAKWAH

Tahun-tahun kebelakangan ini, bumi Mesir dikejutkan dengan kehadiran berbondong-bondong pelajar jurusan perubatan dan juga pengurangan secara mendadak bilangan mahasiswa daripada bidang pengajian Islam. Satu impak yang mungkin secara tidak langsung akan mempengaruhi sedikit sebanyak corak pemikiran ataupun cara berpolitik dikalangan mahasiswa-mahasiswi di Mesir. Budaya pemikiran mahasiswa perubatan yang mungkin sering kali dikaitkan dengan cara pemikiran ala barat seharusnya terhakis dengan cara sekiranya seseorang mahasiswa ataupun mahasiswi Islam di Mesir ini mula untuk menanamkan fikrah Islam yang sebenar di dalam sanubari mereka. Satu tanggapan bahawa kerjaya sebagai seorang doktor adalah salah satu daripada platform terbaik dalam gerakan penyebaran dakwah Islamiyyah di Negara tercinta Malaysia merupakan cabang utama dalam pembentukan modal insan yang betul-betul ikhlas dalam memperjuangkan Islam.

Seperti yang kita semua maklum, Malaysia dan hampir kesemua Negara-negara Islam diserata dunia kini sedang diserang suatu virus yang agak serius iaitu aliran pemikiran yang pelbagai sehinggakan masyarakat Malaysia yang kita kasihi seringkali terkeliru dalam memilih cara berfikir yang benar-benar sesuai dengan kehendak Islam. Sekularisme merupakan antara agenda utama musuh-musuh Islam dalam mempengaruhi tindak tanduk kaum muslimin kerana mereka sedar hanya dengan memisahkan agama Islam daripada kehidupan seorang muslim itu sahaja membuka ruang yang luas bagi mereka menyebarkan dakyah-dakyah kepada masyarakat muslim untuk berpaling daripada berpegang dengan tali Allah yang sebenar iaitu ajaran Islam yang hakiki. Pimpinan daripada pelbagai peringkat masyarakat kebanyakannya lebih terjurus kepada cara hidup yang lebih duniawi sedangkan kita semua sedar bahawa dunia ini hanyalah tempat persinggahan sementara bagi manusia dalam menuju ke daerah akhirat yang kekal abadi.

Kadangkala kita tidak sedar bahawa kita telahpun menjadi mangsa kepada golongan anti Islam, kerana dalam masa kita sibuk berpesan kepada manusia supaya berbakti untuk Islam, tetapi dalam masa yang sama kita jugalah antara AGEN rahsia musuh-musuh Islam yang menikam Islam dari belakang. Berpandukan kepada sejarah-sejarah lampau, kita seharusnya sedar dan lebih peka bahawa sesuatu institusi itu lebih mudah hancur dan roboh jika orang yang memusnahkannya adalah dari kalangan orang dalam berbanding jika serangan demi serangan tersebut dilancarkan oleh pihak luar.
Pernah dikisahkan pada suatu ketika, seorang hamba Allah pernah bertanya kepada seorang paderi Kristian di Indonesia, “adakah kamu tidak berasa apa-apa kerana orang-orang Islam di Indonesia ini lebih banyak daripada orang-orang yang beragama Kristian”. Tetapi paderi itu dengan tenang menjawab “aku tidak pedulikan andai bilangan penganut Kristian sedikit berbanding penganut Islam, asalkan sifat (akhlak) orang-orang Islam itu sudah seakan-akan mereka menganut agama Kristian”.
Jadi disini kita seharusnya sudah jelas akan tanggungjawab kita sebagai seorang muslim mukmin yang sebenar apabila pulang ke Malaysia kelak.

Doktor seperti yang kita maklum merupakan salah satu cabang ilmu yang terpenting di seluruh tempat. Semua manusia sama ada mahu ataupun tidak pasti tidak dapat terlepas daripada mendapat penyakit yang memaksa mereka untuk datang dan bertemu dengan para doctor-doktor sekalian. Daripada tok kiyai, imam masjid sehinggalah kepada mat rempit, mat ganja pasti tidak dapat tidak akan menghadirkan diri kepada para doktor sekalian untuk mendapatkan rawatan bagi pelbagai jenis penyakit yang ada di atas muka bumi Allah ini. Jadi, apa salahnya jika kita menggunakan peluang yang tersadai ini sebagai salah satu darpada wadah terbaik untuk kita membantu dalam gerak kerja penyebaran Islam walau dimana kita berada. Suatu mindset perlu kita sisipkan dalam minda kita bahawa kita adalah antara golongan yang terbaik yang Allah pilih dari kalangan umat Islam yang lain kerana kita tidak perlu bersusah payah untuk mencari mad’u (orang untuk didakwah), sebaliknya mad’u sendiri yang akan datang bertemu dengan kita. Bukankah ini satu kelebihan yang sukar untuk manusia peroleh dan adakah kita akan membiarkan peluang beramal soleh ini berlalu begitu sahaja hanya dengan suatu tanggapan sekularisme-“aku ni budak medic, kerja-kerja dakwah ni serah pada ustaz-ustaz lah”, suatu ungkapan bodoh boleh kita katakan kepada manusia-manusia sebegini.

Namun sesuatu gerak kerja itu pastinya membutuhkan kepada wacana ataupun pengetahuan. Tidak dapat tidak, gerak kerja penyebaran Islam itu juga sangat-sangatlah memerlukan kepada item pengetahuan Islam yang betul-betul tepat dan selari dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Selaku mahasiswa perubatan di bumi Mesir, seharusnya masalah mendapatkan ilmu bukan menjadi faktor utama kepada kita kerana bumi Mesir ini sendiri sudah terkenal dengan gedung ilmu yang pelbagai, cumanya bergantung kepada individu itu sendiri sama ada benar-benar berhasrat untuk mendapatkannya ataupun sekadar datang ke Mesir dan pulang ke Malaysia sebagai seorang doktor biasa yang hanya pakar dalam bidang perubatan tetapi tiada nilai tambah dalam dirinya tentang ilmu-ilmu Islam yang terbenang luas di sini. Terapkan dalam jiwa-jiwa kita akan semangat yang tinggi dalam menimba ilmu Islam dan dalam masa yang sama tidak lalai akan tujuan utama kehadiran kita di bumi anbiya’ ini iaitu mendapatkan ilmu-ilmu perubatan sebanyak-banyaknya.

Kesimpulannya ayuh kita gempur majlis-majlis ilmu di mesir ini untuk kita jadikan ia sebagai nilai tambah yang paling berharga dan bernilai apabila kita pulang ke Malaysia kelak. Sama-samalah kita jadikan profession kedoktoran ini sebagai salah satu daripada titik permulaan kepada kita dalam misi memartabatkan Islam kembali seperti disaat kegemilangannya pada zaman rasulallah SAW.

Continue Reading...
 

Blogroll

Site Info

Kalam Admin

Ahlan wasahlan wamarhaban bikum. Semoga maklumat yang tertera dalam blog ini bermanfaat bersama

Mediczagazig3 © Copyright 2009 | All Rights Reserved by mediczagazig and PERUBATAN | Design by Unit Penerbitan PERUBATAN Zagazig
No part of the content or the blog to be reproduced without prior written permission.