Seperti yang kita semua maklum, Malaysia dan hampir kesemua Negara-negara Islam diserata dunia kini sedang diserang suatu virus yang agak serius iaitu aliran pemikiran yang pelbagai sehinggakan masyarakat Malaysia yang kita kasihi seringkali terkeliru dalam memilih cara berfikir yang benar-benar sesuai dengan kehendak Islam. Sekularisme merupakan antara agenda utama musuh-musuh Islam dalam mempengaruhi tindak tanduk kaum muslimin kerana mereka sedar hanya dengan memisahkan agama Islam daripada kehidupan seorang muslim itu sahaja membuka ruang yang luas bagi mereka menyebarkan dakyah-dakyah kepada masyarakat muslim untuk berpaling daripada berpegang dengan tali Allah yang sebenar iaitu ajaran Islam yang hakiki. Pimpinan daripada pelbagai peringkat masyarakat kebanyakannya lebih terjurus kepada cara hidup yang lebih duniawi sedangkan kita semua sedar bahawa dunia ini hanyalah tempat persinggahan sementara bagi manusia dalam menuju ke daerah akhirat yang kekal abadi.
Kadangkala kita tidak sedar bahawa kita telahpun menjadi mangsa kepada golongan anti Islam, kerana dalam masa kita sibuk berpesan kepada manusia supaya berbakti untuk Islam, tetapi dalam masa yang sama kita jugalah antara AGEN rahsia musuh-musuh Islam yang menikam Islam dari belakang. Berpandukan kepada sejarah-sejarah lampau, kita seharusnya sedar dan lebih peka bahawa sesuatu institusi itu lebih mudah hancur dan roboh jika orang yang memusnahkannya adalah dari kalangan orang dalam berbanding jika serangan demi serangan tersebut dilancarkan oleh pihak luar.
Pernah dikisahkan pada suatu ketika, seorang hamba Allah pernah bertanya kepada seorang paderi Kristian di Indonesia, “adakah kamu tidak berasa apa-apa kerana orang-orang Islam di Indonesia ini lebih banyak daripada orang-orang yang beragama Kristian”. Tetapi paderi itu dengan tenang menjawab “aku tidak pedulikan andai bilangan penganut Kristian sedikit berbanding penganut Islam, asalkan sifat (akhlak) orang-orang Islam itu sudah seakan-akan mereka menganut agama Kristian”.Jadi disini kita seharusnya sudah jelas akan tanggungjawab kita sebagai seorang muslim mukmin yang sebenar apabila pulang ke Malaysia kelak.
Doktor seperti yang kita maklum merupakan salah satu cabang ilmu yang terpenting di seluruh tempat. Semua manusia sama ada mahu ataupun tidak pasti tidak dapat terlepas daripada mendapat penyakit yang memaksa mereka untuk datang dan bertemu dengan para doctor-doktor sekalian. Daripada tok kiyai, imam masjid sehinggalah kepada mat rempit, mat ganja pasti tidak dapat tidak akan menghadirkan diri kepada para doktor sekalian untuk mendapatkan rawatan bagi pelbagai jenis penyakit yang ada di atas muka bumi Allah ini. Jadi, apa salahnya jika kita menggunakan peluang yang tersadai ini sebagai salah satu darpada wadah terbaik untuk kita membantu dalam gerak kerja penyebaran Islam walau dimana kita berada. Suatu mindset perlu kita sisipkan dalam minda kita bahawa kita adalah antara golongan yang terbaik yang Allah pilih dari kalangan umat Islam yang lain kerana kita tidak perlu bersusah payah untuk mencari mad’u (orang untuk didakwah), sebaliknya mad’u sendiri yang akan datang bertemu dengan kita. Bukankah ini satu kelebihan yang sukar untuk manusia peroleh dan adakah kita akan membiarkan peluang beramal soleh ini berlalu begitu sahaja hanya dengan suatu tanggapan sekularisme-“aku ni budak medic, kerja-kerja dakwah ni serah pada ustaz-ustaz lah”, suatu ungkapan bodoh boleh kita katakan kepada manusia-manusia sebegini.
Namun sesuatu gerak kerja itu pastinya membutuhkan kepada wacana ataupun pengetahuan. Tidak dapat tidak, gerak kerja penyebaran Islam itu juga sangat-sangatlah memerlukan kepada item pengetahuan Islam yang betul-betul tepat dan selari dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Selaku mahasiswa perubatan di bumi Mesir, seharusnya masalah mendapatkan ilmu bukan menjadi faktor utama kepada kita kerana bumi Mesir ini sendiri sudah terkenal dengan gedung ilmu yang pelbagai, cumanya bergantung kepada individu itu sendiri sama ada benar-benar berhasrat untuk mendapatkannya ataupun sekadar datang ke Mesir dan pulang ke Malaysia sebagai seorang doktor biasa yang hanya pakar dalam bidang perubatan tetapi tiada nilai tambah dalam dirinya tentang ilmu-ilmu Islam yang terbenang luas di sini. Terapkan dalam jiwa-jiwa kita akan semangat yang tinggi dalam menimba ilmu Islam dan dalam masa yang sama tidak lalai akan tujuan utama kehadiran kita di bumi anbiya’ ini iaitu mendapatkan ilmu-ilmu perubatan sebanyak-banyaknya.
Kesimpulannya ayuh kita gempur majlis-majlis ilmu di mesir ini untuk kita jadikan ia sebagai nilai tambah yang paling berharga dan bernilai apabila kita pulang ke Malaysia kelak. Sama-samalah kita jadikan profession kedoktoran ini sebagai salah satu daripada titik permulaan kepada kita dalam misi memartabatkan Islam kembali seperti disaat kegemilangannya pada zaman rasulallah SAW.
0 comments:
Post a Comment