Layari Laman Kami:

28.12.09

Planner PERUBATAN 2010

Produk baru PERUBATAN telah berada di pasaran!

http://i46.tinypic.com/25kketd.jpg
bukan LE 12
bukan LE 15
apatah lagi LE 20
tapi
HANYA LE10!

*Dapatkan dari Unit Ekonomi OPZ
Continue Reading...

25.12.09

Jaulah Port Said (Ikhwah)

11 Desember 2009,PORT SAID- Jaulah Port Said (II)’09 telah dijalankan di bawah anjuran Unit Kebajikan dan Sukan Organisasi Perubatan Zagazig (OPZ). Di bawah arahan Dr. Mohd Syafiq bin Paridin selaku Pengarah program bersama adhoc-adhoc yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung, program yang sangat bermanfaat ini berjaya di jalankan dengan selamat. Seramai 48 ahli OPZ termasuk 5 pelajar Al-Azhar telah menyertai jaulah ini dan sebuah bas telah digunakan sebagai pengangkutan untuk ke destinasi yang ditujui. Seperti yang dirancang, tepat jam 7.00 pagi, bas yang ditempah telah tiba di perkarangan Kamsis Salam dan sebahagian besar peserta telah siap sedia menunggu. Pada pukul 8.00 pagi, rombongan jaulah bertolak menuju ke destiniasi utama iaitu Port Said. Semua ahli begitu bersemangat dan tidak sabar untuk sampai ke destinasi seawal yang mungkin.

Ketika dalam perjalanan, Ustaz Mohd Murshid bin Shafiee selaku Unit Musyrif menerangkan tentang tentatif program serta sejarah ringkas mengenai Port Said dan Port Fuad. Setiap ahli juga dibahagikan kepada beberapa kumpulan kecil untuk memudahkan komunikasi apabila berlaku perkara yang tidak diingini. Sebagai sarapan pagi, Unit Makanan, Dr Ayyub Ansari telah membahagikan roti fino dan juga air teh kapada semua ahli jaulah disamping terdapat juga jualan daripada pihak OPZ. Ternyata semua ahli berpuas hati dengan sarapan pagi yang disediakan sehingga semua tertidur sementara tiba ke destinasi yang mengambil masa 3 jam.

Tepat jam 11 pagi,rombongan selamat tiba ke Port Said. Semua ahli bergerak ke masjid di kawasan Port Fuad untuk solat jumaat menaiki feri. Perjalanan mengambil masa kira-kira 10 minit.Setibanya di sana,semua ahli mengambil tempat disebuah pondok berdekatan masjid untuk makan tengahari. Lauk ayam masak merah yang sangat lazat membuatkan semua ahli berpuas hati dan terus bergerak ke dalam masjid untuk solat jumaat. Setelah selesai solat,sekali lagi ahli jaulah menaiki feri untuk berpatah balik ke Port Said. Semua ahli begitu bersemangat untuk membeli-belah. Setibanya di sana, semua ahli berpecah-pecah bagi memudahkan urusan jual-beli.

Terdapat pelbagai jenis pakaian dijual disana dan sangat sesuai untuk semua peringkat umur sama ada pakaian ikhwah mahupun akhawat. Selain itu,terdapat juga pasar tani berdekatan yang menjual buah-buahan dan hasil-hasil laut seperti ikan, udang, sotong dan sebagainya.Setelah 4 jam membeli-belah,semua ahli bergerak ke masjid untuk solat maghrib secara berjemaah. Tepat jam 7.00 malam,rombongan jaulah bertolak pulang ke Zagazig. Walaupun keletihan, semua ahli berpuas hati dengan barangan yang telah dibeli. Disamping membeli-belah sambil menyaksikan keindahan alam sekeliling, jaulah ini diharapkan dapat mengeratkan lagi ukhwah dikalangan ahli-ahli OPZ hendaknya dan semoga jaulah sebegini dapat dijalankan lagi dimasa hadapan. Semua ahli jaulah selamat tiba di Zagazig pada pukul 10 malam dan pulang ke kediaman masing-masing.


Disediakan oleh:


Mohammad Ermyzal Nazirul Bin Musa,
Setiausaha,
Jaulah Port Said (II) ’09
14 Disember 2009
Continue Reading...

17.12.09

JAULAH MAHABBAH PORT SAID (AKHAWAT)

12 Nov. 2009, Port Said – Jaulah Mahabbah Port Said bagi akhawat telah dijalankan di bawah anjuran Unit Kebajikan dan Sukan Organisasi Perubatan Zagazig (OPZ). Sebanyak 3 buah bas digunakan sebagai pengangkutan di dalam perjalanan jaulah yang disertai oleh 136 orang peserta akhawat ini.

Pada pukul 8.45 pagi, rombongan jaulah bertolak dari Salam, Zagazig. Pelbagai aktiviti yang disediakan oleh pihak penganjur bagi memanfaatkan masa yang terluang di dalam perjalanan seperti kuiz uji minda, cabutan bertuah dan pengenalan tentang destinasi yang di tuju. Sepanjang perjalanan, seramai 7 orang ahli jaulah yang dilaporkan mabuk perjalanan (motion sickness). Walaubagaimanapun, keadaan berada di bawah kawalan. Kira-kira 3 jam 45 minit masa yang diambil untuk sampai ke destinasi.

Seterusnya, ahli jaulah menaiki feri melalui Terusan Suez menuju ke Port Fuad. Di situ, ahli jaulah menunaikan Solat Fardhu Zohor dan Asar di sebuah masjid berhampiran dan berpeluang mengambil gambar kenangan disamping menghirup udara di persisiran pantai. Pada pukul 2.35 petang, perjalanan berpatah balik ke Port Said diteruskan.

Ahli jaulah dibahagikan kepada beberapa kumpulan bersama musyrif dan musyrifah masing-masing bagi memudahkan urusan jual beli semasa di kawasan membeli-belah. Beraneka pilihan dan fesyen pakaian yang dipamerkan di setiap kedai bagi membolehkan pilihan dibuat mengikut citarasa masing-masing. Selain itu, terdapat juga gerai menjual buah-buahan. Pelbagai jenis pakaian yang dibeli oleh ahli jaulah sebagai persediaan dalam menghadapi kedinginan yang bakal ditempuh semasa musim sejuk di bumi mesir ini.

Pada pukul 7.40 malam, perjalanan pulang ke Zagazig diteruskan selepas ahli-ahli jaulah menunaikan solat fardhu magrib dan isyak di masjid berhampiran kawasan membeli-belah. Disamping membeli-belah sambil menyaksikan keindahan alam sekeliling, jaulah ini diharapkan dapat mengeratkan lagi ukhwah dikalangan ahli-ahli OPZ hendaknya. Pada pukul 10.45 malam, bas yang membawa ahli jaulah ini selamat sampai ke Zagazig dan seterusnya masing-masing pulang ke kediaman sendiri.

Disediakan oleh :

Nor Aizah Bt. Muhammad
Setiausaha Jaulah Mahabbah Port Said (Akhawat)
Continue Reading...

16.12.09

Memakan Organ Dalaman – Hati

dipetik dari : http://umaralfateh.wordpress.com/2009/11/22/kesihatan-memakan-organ-dalaman-hati/

Hati – salah satu organ hidupan yang penting bagi manusia dan haiwan.

Hati - Liver

Ianya menjadi pusat penapisan toksik di dalam darah. Segala makanan yang diserap dan diangkut melalui darah akan ditapis di hati.

Di hati, semua toksik-toksik ini akan dineutralkan dengan kata lain toksik tersebut tidak lagi menjadi bahaya terhadap badan.

Kelebihan dan Kekurangan Memakan Hati

“Dihalalkan untuk kita (umat Islam) dua jenis bangkai dan dua jenis darah, adapun dua jenis bangkai itu ialah ikan dan belalang, manakala dua jenis darah itu ialah hati dan limpa.” (Hadith riwayat Ahmad 2/97, dan Ibn Majah, Kitab al-At’imah, bab al-Kabid wa al-Tihal)

Dari hadis ini – Hati adalah salah satu benda halal yang dibenarkan di dalam islam.

Apa Ada Pada Hati Yang Dijadikan Hidangan

Analisis Nutrisi

Good points

Bad points

Nasihat Pemakanan

Kandungan Vitamin A.

1. Memakan hati melebihi sekali dalam seminggu yang berterusan selama bertahun akan menyebabkan osteoporosis (penyakit tulang mudah reput), pakar pemakanan memberikan nasihat.

Hati dan makanan yang mempunyai kandungan hati mempunyai Vitamin A yang terlalu tinggi dan sepatutnya dihindarkan , Food Standard Agency melaporkan.

Wanita yang telah putus haid dan lelaki berumur 65 tahun ke atas adalah golongan yang paling tinggi risiko menghidapi osteoporosis sangat dinasihatkan untuk melimitkan pengambilan Vitamin A.

Mereka juga perlu menghindarkan pengambilanvitamin A seperti Minyak hati ikan dan memakan tidak lebih dari satu bahagian hati dalam seminggu.

Nasihat ini diikuti dari satu kajian yang dijalankan oleh Scientific Advisory Comitte on Nutrition yang menunjukkan bahawa kandungan vitamin A yang tinggi akan meningkatkan risiko penyakit dan menyebabkan tulang rapuh yang menyebabkan ianya mudah patah , untuk kehidupan seterusnya.

2. Nasihat bagi ibu yang mengandung atau yang bercadang untuk mengandung adalah agar terus meninggalkan pemakanan hati kerana kandungan vitamin A yang tinggi di dalam hati akan meningkatkan kesan atau kecacatan pada bayi yang dikandungi.

Hati sepatutnya tidak diambil melebihi sekali seminggu kerana kandungan vitamin A nya yang tinggi berbanding makanan lain.

Pengambilan harian untuk Vitamin A adalah 0.6 – 0.7 mg satu hari. Maximum pengambilan 1.5 mg.

Analysis yang dijalankan menunjukkan hati yang dimasak mengandungi 10-25 mg bagi 100 g hati – hampir 10-20 kali ganda lebih dari sepatutnya.


2.Kandungan Cholesterol

Selain dari kandungan Vitamin A yang tinggi, hati juga mempunyai kandungan kolesterol yang tinggi.

Kebiasaannya, kolesterol diperlukan bagi pengekalan sel badan, pembinaan cecair hempedu , steroid dan vitamin D.

Jika kandungan kolesterol melebihi dari had yang sepatutnya di dalam badan, ianya akan meningkatkan risiko penyakit jantung, seterusnya mengurangkan kualiti kehidupan seseorang.


Cadangan Pemakanan Menggantikan Hati

Walaupun hati mempunyai kandungan zat besi yang elok untuk badan, tetapi kandungan vitamin A dan cholesterolnya yang tinggi yang meningkatkan risiko penyakit memerlukan satu jalan lain bagi mengantikan makanan ini.

Daging merah , kekacang , roti , sayuran hijau ,dan bijiran adalah sumber yang elok untuk menggantikan hati dalam pengambilan zat besi.

Nasihat Saya

Kita sebagai muslim, Allah menggalakkan kita agar mencari makanan yang halal lagi baik (halalan toyyiba)

Halal dan baik ini salah satu cara Allah menjaga kita sebagai muslim bagi menjaga kualiti kehidupan kita seterusnya meningkatkan kualiti kehidupan beribadah dan khalifah Allah di atas muka bumi ini.

Kita yang sudah mengetahui tentang kelebihan dan kekurangan sesuatu makanan, eloklah agar kita menjauhinya jika kita sudah mempunyai alternatif yang lain.

Nabi hanya mengatakan bahawa hati dan limpa halal, tetapi tiada suruhan mahupun larangan terhadap pengambilannya.

Nasihat saya, jika anda adalah kaki yang memakan hati, kalau tak makan duduk tak senang, maka had dan limitkan pemakanan hati ini, jika sebelum ini setiap hari pasti makan hati, maka limitkan kepada 3 hari sekali, dan jika sudah biasa, jarakkan lagi kepada 5 hari sekali, dan jika sudah biasa, jarakkan kepada 8 hari sekali.

Sedikit demi sedikit dijarakkan itu lebih baik, berbanding terus berhenti.

Sekian sahaja buat kali ini.

Moga sama-sama kita tingkatkan kualiti kehidupan kita.

—————————————-

Rujukan

1. http://www.food.gov.uk/news/pressreleases/2005/sep/newvitaminaadvicepress

2.http://www.mailonsunday.co.uk/health/article-361719/Eat-liver-risk-bone-disease.html

3. http://prof_anil_aggrawal.tripod.com/poiso032.html

4. Internal Disease , Tom 1 , edisi 21 (buku rusia)

5. http://encyclopedia.thefreedictionary.com/Hypervitaminosis+A

6. http://caloriecount.about.com/cc/search2.php?search_type=foods&searchpro=liver&x=0&y=0

Continue Reading...

5.12.09

Kepentingan Sarapan

Sarapan atau alas perut, makanan pagi amat penting dalam kehidupan. Sarapan bagai baja kepada kehidupan tumbuhan. Begitulah juga manusia yang memerlukan sarapan pada setiap pagi. Terdapat pelbagai kerenah manusia terutama remaja yang berada di bangku sekolah tentang tabiat bersarapan pagi antaranya:

· Sebilangan besar remaja tidak bersarapan pagi sebelum ke sekolah. Mereka hanya bersarapan jam 10 pagi pada waktu rehat di sekolah.
· Pemilihan makanan untuk sarapan hanya kepada makanan yang digemari dan bukan kepada makanan yang berkhasiat.
· Sarapan pagi tidak mengandungi karbohidrat seperti roti dan bijirin yang boleh merangsang fungsi otak.
· Sarapan pagi tidak diikuti dengan minuman seperti susu, milo atau minuman lain yang berkhasiat.
· Sarapan pagi sesuatu yang asing dan ganjil bagi mereka yang tidak pernah melakukannya antara jam 7.00 hingga 9.30 pagi.

Fenomena remaja kita hari ini yang tidak bersarapan pagi ke sekolah dianggap perkara biasa. Mereka akan berasa tidak selesa apabila bersarapan pagi. Sebenarnya, sarapan pagi tidak perlu terlalu berat, cukup sekadar segelas susu, sekeping roti atau sedikit bijirin.

Otak atau minda sangat memerlukan sarapan pagi bagi merangsang pemikiran ke arah pembelajaran yang lebih cemerlang di sekolah. Sarapan pagi dikatakan dapat mencergaskan minda jika dijadikan sebagai rutin harian yang penting untuk kehidupan yang lebih berkualiti.

Pakar pemakanan sependapat bahawa mengambil sarapan adalah sumber pertama untuk memulakan kehidupan seharian, sekali gus mencergaskan minda. Kajian terbaru menunjukkan orang yang bersarapan secara tetap menikmati kehidupan berkualiti, tersusun, bersikap positif, lebih langsing dan memiliki daya tumpuan yang lebih baik.

Pemilihan sarapan terutamanya yang kaya dengan karbohidrat, membekalkan tenaga, mampu menahan rasa lapar dan mengawal keinginan untuk makan di antara waktu sarapan dan makan tengah hari.

Malangnya, ramai yang meninggalkan sarapan dengan alasan tiada selera makan pada waktu pagi atau tidak sempat kerana bangun lambat. Jika anda tergolong dalam kumpulan ini, ada baiknya anda terus membaca untuk mengetahui rahsia di sebalik hidangan ringkas yang dipanggil sarapan.
Ada saintis yang menggelar sarapan sebagai makanan untuk otak. Kajian menunjukkan sarapan ada kaitan rapat dengan kecergasan mental. Secara ringkasnya, sarapan dikatakan memberikan kesan positif terhadap aktiviti otak – lebih cergas, peka dan fokus.

Ini secara tidak langsung mendatangkan pengaruh positif terhadap diri individu itu untuk melaksanakan tugasnya, sama ada di sekolah atau di tempat kerja; walaupun hanya mengambil sarapan sekeping roti dan secawan kopi.

Karbohidrat yang diambil pada waktu pagi akan merangsang paras glukos dan mikro nutrien dalam otak. Contohnya, vitamin B yang diperkaya dalam roti dan bijirin sarapan dikenal pasti mampu memberikan kesan positif kepada fungsi otak.

Kesan lebih ketara dalam kalangan kanak-kanak dan remaja yang mengambil sarapan yang kaya dengan karbohidrat kompleks ialah mereka boleh menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan menyelesaikan masalah dengan baik. Justeru, tidak hairan jika pengusaha roti dan bijirin berlumba-lumba menghasilkan produk yang diperkaya dengan pelbagai khasiat dan vitamin.

Kajian yang dijalankan Food Facts Asia dengan kerjasama empat universiti di Asia ke atas remaja berusia 10 hingga 12 tahun yang mengamalkan sarapan rata-rata jauh lebih langsing dan kurang berhadapan dengan masalah berat badan berlebihan.

Bahkan, kajian di Amerika Syarikat ke atas 3,000 sukarelawan menunjukkan mereka dapat mengurangkan berat badan dan mengekalkan berat badan unggul dengan hanya mengamalkan sarapan.

Oleh: Aminuddin Mansor (Majalah Cahaya 2006)
Continue Reading...
 

Blogroll

Site Info

Kalam Admin

Ahlan wasahlan wamarhaban bikum. Semoga maklumat yang tertera dalam blog ini bermanfaat bersama

Mediczagazig3 © Copyright 2009 | All Rights Reserved by mediczagazig and PERUBATAN | Design by Unit Penerbitan PERUBATAN Zagazig
No part of the content or the blog to be reproduced without prior written permission.