Layari Laman Kami:

22.10.09

"Couple": Ada Cara Islamik kah?

Cinta Kampus : Matlamat Halalkan Cara
www.iluvislam.com
Tuan Mohd Reza
Editor: RosNiza Abdullah

Matlamat salah cuba menghalalkan cara.


Melalui hidup sebagai remaja, hidup di universiti yang berjauhan daripada ibu bapa, sedikit sebanyak, tempiasnya akan terkena juga. Terlalu banyak dugaan dalam cinta siswa siswi dan tidak semudah kata-kata untuk memelihara diri. Kehidupan di kampus yang jauh daripada pengawasan keluarga menyebabkan diri mudah terpedaya dengan ajakan nafsu.

Bagi mereka yang sudah terjebak, bukan mudah untuk membuat keputusan yang rasional di saat emosi dan perasaan sedang berkecamuk. Kalau ambil keputusan untuk berpisah, adakah masih ada lelaki lain yang seperti dia? Kalau diteruskan hubungan ini, sanggupkah aku menanggung dosanya?

Tiada siapa yang akan menolong aku kalau bukan aku. Kekuatan itu mesti bangkit daripada dalaman diri sendiri. Jika niat itu sudah nekad, Allah Taala akan permudahkan jalan itu.

Inilah dunia sekarang yang penuh dengan kekeliruan dan jauh daripada penghayatan Islam sebenar. Masing-masing menggunakan agama sebagai pasport untuk membuat kebaikan daripada kaca mata mereka sendiri bukannya apa yang telah digariskan oleh Allah Taala dan Rasul.

Walaupun pada awalnya kita berniat hendak melakukan sesuatu yang baik, tapi mudah sungguh syaitan dan nafsu memesongkan niat suci itu dalam pelbagai cara yang cukup kreatif. Rasanya ramai remaja merasakan perlu kepada teman lelaki atau perempuan yang berlainan jantina merupakan satu ‘keperluan’ untuk rasa sempurna. Tempiasnya terkena juga kepada golongan remaja khususnya siswa dan siswi yang nampak komited pada kerja-kerja dakwah.

Sememangnya manusia lebih terdedah kepada kebaikan yang adakalanya mengaburi mata mereka, walhal perkara itulah sebenarnya yang mengundang malapetaka buat diri mereka sendiri. Begitu payahnya kita mahu membezakan perkara yang baik dan yang benar-benar baik. Apabila kita sudah terhantuk barulah kita baru terngandah itulah sebenarnya kesilapan.

Mereka tahu mereka hidup dalam dosa dan kesalahan, cuma yang penulis tidak faham bagaimana mereka boleh rasa sayang untuk lepaskan pasangan semata-mata mereka rasa dalam perhubungan mereka masih ada kebaikan, bersandarkan kepada sms tazkirah, suruh bangun tahajjud. Bagaimana mereka memandang dan menilai kebaikan?



MATLAMAT HALALKAN CARA

Penulis rasa gusar memandangkan beberapa kes yang banyak berlaku di kalangan mereka ingin membawa Islam, tetapi akhlak pergaulan muslimah dan muslimin tidak dijaga.

Hanya berbekalkan perkataan yang berbentuk perbincangan, jihad, tazkirah, dan mengejutkan untuk ber-tahajjud, sinonim dengan perbincangan berbau Islam mereka anggap hubungan mereka ini sudah diredhai walaupun hanya sekadar bertelefon, sms, e-mail dengan luahan perasaan cinta masing-masing.

Tambahan lagi pengaruh nasyid temporari kini yang hangat mengutarakan lagu cinta sesama muslim menjadi penghangat cinta bagi mereka yang menghalalkan cara.

Segala-galanya adalah mainan perasaan yang kerap melihat kebaikkan di dalam dosa itu, dan amat jarang bagi kita untuk bermuhasabah di atas kebaikkan-kebaikan yang kita sangkakan telah dilakukan. Memanglah alam remaja, teramat indah jika ada orang lain yang sentiasa caring ke atas kita, tetapi percayalah ianya hanyalah khayalan sementara kerana selepas hidup bersama barulah kita tahu kelemahan dan keburukan pasangan masing-masing.

Bila anak-anak sudah bertambah dan kesibukan hidup pun juga bertambah, hilanglah segala impian-impian dan angan-angan terdahulu.

Kepada adik-adik remaja, khususnya mereka yang di bangku menara gading, jauhilah maksiat ber-couple atau apa sahaja perlakuan mungkar kerana semuanya itu saling membuktikan kepada Allah Taala bahawa kalian berdua amat berani mendurhakai Allah Taala. Rumahtangga dibina bukan hanya atas cinta, tetapi juga pada saling mempercayai.

Jika Allah sudah diingkari, siapa lagikah yang boleh dijadikan tempat meletakkan kepercayaan? Dosa semalam akan pasti menjadi kecurigaan hari ini, esok dan selamanya.

Muhasabahlah kalian.



HAYATI AJARAN ISLAM SEBENAR

Kita bincang pasal manusia, naluri manusia suka dicintai dan mencintai, hati pula kalau sentiasa senang akan menjadi bosan tapi kalau sentiasa susah hati akan menjadi rawan, nafsu adalah kelemahan manusia. Barang siapa berjaya menundukkan nafsu, martabatnya akan menyaingi malaikat, kalau ditundukkan oleh nafsu akan turun lebih rendah daripada binatang.

Memang susah merubah seorang musuh menjadi kawan, kemudian menjadi sahabat, memadamkan kemarahan hati dan merubah muka marah dengan senyum, memberi maaf kesalahan sehingga udara yang tadinya mendung menjadi terang benderang. Memang susah melakukan itu, dan ini hanyalah pekerjaan orang yang berhati waja, mempunyai kemahuan yang besar dan bercita-cita mulia.

Namun sedar atau tidak, takwa kepada Allah Taala adalah yang perlu ditekankan. Betapa beratnya balasannya andai kita tersilap langkah dan akhirnya terjerumus ke arah maksiat yang pastinya kita semua maklum tentang balasan Tuhan.

وَٱلَّذِينَ جَـٰهَدُواْ فِينَا لَنَہۡدِيَنَّہُمۡ سُبُلَنَاۚ وَإِنَّ ٱللَّهَ لَمَعَ ٱلۡمُحۡسِنِينَ

Allah Taala berfirman yang bermaksud: “Dan orang yang berusaha (berjihad) dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan kami, dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya” al-Ankabut (29:69)

Usahlah berlengah lagi untuk berhijrah, andai sudah terdetik dalam hati bahawa perlakuan kalian buat ini adalah salah dan dilaknat Allah Taala, segeralah berhijrah kerana teramat khuatir andai hanya kali ini sahaja peringatan Allah Taala datang untuk menegur kita dan kita pula tidak mengendahkannya, kita akan terus hanyut dengan dosa kita sampai ke akhir hayat kita.

Perlakuan matlamat menghalalkan cara mengelabui mata.

Perintah itu wajib.

Berjihadlah dalam mencari cinta yang suci iaitu cinta selepas pernikahan. Mengapa mencari kaca andai telah dijanjikan permata, dan mengapa mencari api yang membakar kalau sudah dijanjikan salju dingin. Bersabarlah untuk sesuatu yang lebih manis pada masa akan datang.

Jika kita mencari redha Allah dengan kemarahan manusia, nescaya dicukupkan Allah dengan keredhaannya , jika kita mencari kemarahan Allah dengan keredhaan manusia nescaya Allah Taala serahkan kita kepada manusia.

Mua’dz ra berdoa sebelum kematiaannya: “Aku mencintai hidup hanya untuk tiga perkara iaitu untuk berpuasa di siang hari, untuk qiammullail di malam hari dan untuk berkumpul dengan para ulama”.

Carilah kesibukkan di antara terlopong masa dengan pekerjaan, daripada sesenang pekerjaan yang dikira ibadat yang boleh menghasilkan pahala. ameen


Source:
taken from
original article

Continue Reading...

21.10.09

KERJAYA DOKTOR- PLATFORM TERBAIK UNTUK BERDAKWAH

Tahun-tahun kebelakangan ini, bumi Mesir dikejutkan dengan kehadiran berbondong-bondong pelajar jurusan perubatan dan juga pengurangan secara mendadak bilangan mahasiswa daripada bidang pengajian Islam. Satu impak yang mungkin secara tidak langsung akan mempengaruhi sedikit sebanyak corak pemikiran ataupun cara berpolitik dikalangan mahasiswa-mahasiswi di Mesir. Budaya pemikiran mahasiswa perubatan yang mungkin sering kali dikaitkan dengan cara pemikiran ala barat seharusnya terhakis dengan cara sekiranya seseorang mahasiswa ataupun mahasiswi Islam di Mesir ini mula untuk menanamkan fikrah Islam yang sebenar di dalam sanubari mereka. Satu tanggapan bahawa kerjaya sebagai seorang doktor adalah salah satu daripada platform terbaik dalam gerakan penyebaran dakwah Islamiyyah di Negara tercinta Malaysia merupakan cabang utama dalam pembentukan modal insan yang betul-betul ikhlas dalam memperjuangkan Islam.

Seperti yang kita semua maklum, Malaysia dan hampir kesemua Negara-negara Islam diserata dunia kini sedang diserang suatu virus yang agak serius iaitu aliran pemikiran yang pelbagai sehinggakan masyarakat Malaysia yang kita kasihi seringkali terkeliru dalam memilih cara berfikir yang benar-benar sesuai dengan kehendak Islam. Sekularisme merupakan antara agenda utama musuh-musuh Islam dalam mempengaruhi tindak tanduk kaum muslimin kerana mereka sedar hanya dengan memisahkan agama Islam daripada kehidupan seorang muslim itu sahaja membuka ruang yang luas bagi mereka menyebarkan dakyah-dakyah kepada masyarakat muslim untuk berpaling daripada berpegang dengan tali Allah yang sebenar iaitu ajaran Islam yang hakiki. Pimpinan daripada pelbagai peringkat masyarakat kebanyakannya lebih terjurus kepada cara hidup yang lebih duniawi sedangkan kita semua sedar bahawa dunia ini hanyalah tempat persinggahan sementara bagi manusia dalam menuju ke daerah akhirat yang kekal abadi.

Kadangkala kita tidak sedar bahawa kita telahpun menjadi mangsa kepada golongan anti Islam, kerana dalam masa kita sibuk berpesan kepada manusia supaya berbakti untuk Islam, tetapi dalam masa yang sama kita jugalah antara AGEN rahsia musuh-musuh Islam yang menikam Islam dari belakang. Berpandukan kepada sejarah-sejarah lampau, kita seharusnya sedar dan lebih peka bahawa sesuatu institusi itu lebih mudah hancur dan roboh jika orang yang memusnahkannya adalah dari kalangan orang dalam berbanding jika serangan demi serangan tersebut dilancarkan oleh pihak luar.
Pernah dikisahkan pada suatu ketika, seorang hamba Allah pernah bertanya kepada seorang paderi Kristian di Indonesia, “adakah kamu tidak berasa apa-apa kerana orang-orang Islam di Indonesia ini lebih banyak daripada orang-orang yang beragama Kristian”. Tetapi paderi itu dengan tenang menjawab “aku tidak pedulikan andai bilangan penganut Kristian sedikit berbanding penganut Islam, asalkan sifat (akhlak) orang-orang Islam itu sudah seakan-akan mereka menganut agama Kristian”.
Jadi disini kita seharusnya sudah jelas akan tanggungjawab kita sebagai seorang muslim mukmin yang sebenar apabila pulang ke Malaysia kelak.

Doktor seperti yang kita maklum merupakan salah satu cabang ilmu yang terpenting di seluruh tempat. Semua manusia sama ada mahu ataupun tidak pasti tidak dapat terlepas daripada mendapat penyakit yang memaksa mereka untuk datang dan bertemu dengan para doctor-doktor sekalian. Daripada tok kiyai, imam masjid sehinggalah kepada mat rempit, mat ganja pasti tidak dapat tidak akan menghadirkan diri kepada para doktor sekalian untuk mendapatkan rawatan bagi pelbagai jenis penyakit yang ada di atas muka bumi Allah ini. Jadi, apa salahnya jika kita menggunakan peluang yang tersadai ini sebagai salah satu darpada wadah terbaik untuk kita membantu dalam gerak kerja penyebaran Islam walau dimana kita berada. Suatu mindset perlu kita sisipkan dalam minda kita bahawa kita adalah antara golongan yang terbaik yang Allah pilih dari kalangan umat Islam yang lain kerana kita tidak perlu bersusah payah untuk mencari mad’u (orang untuk didakwah), sebaliknya mad’u sendiri yang akan datang bertemu dengan kita. Bukankah ini satu kelebihan yang sukar untuk manusia peroleh dan adakah kita akan membiarkan peluang beramal soleh ini berlalu begitu sahaja hanya dengan suatu tanggapan sekularisme-“aku ni budak medic, kerja-kerja dakwah ni serah pada ustaz-ustaz lah”, suatu ungkapan bodoh boleh kita katakan kepada manusia-manusia sebegini.

Namun sesuatu gerak kerja itu pastinya membutuhkan kepada wacana ataupun pengetahuan. Tidak dapat tidak, gerak kerja penyebaran Islam itu juga sangat-sangatlah memerlukan kepada item pengetahuan Islam yang betul-betul tepat dan selari dengan Al-Quran dan As-Sunnah. Selaku mahasiswa perubatan di bumi Mesir, seharusnya masalah mendapatkan ilmu bukan menjadi faktor utama kepada kita kerana bumi Mesir ini sendiri sudah terkenal dengan gedung ilmu yang pelbagai, cumanya bergantung kepada individu itu sendiri sama ada benar-benar berhasrat untuk mendapatkannya ataupun sekadar datang ke Mesir dan pulang ke Malaysia sebagai seorang doktor biasa yang hanya pakar dalam bidang perubatan tetapi tiada nilai tambah dalam dirinya tentang ilmu-ilmu Islam yang terbenang luas di sini. Terapkan dalam jiwa-jiwa kita akan semangat yang tinggi dalam menimba ilmu Islam dan dalam masa yang sama tidak lalai akan tujuan utama kehadiran kita di bumi anbiya’ ini iaitu mendapatkan ilmu-ilmu perubatan sebanyak-banyaknya.

Kesimpulannya ayuh kita gempur majlis-majlis ilmu di mesir ini untuk kita jadikan ia sebagai nilai tambah yang paling berharga dan bernilai apabila kita pulang ke Malaysia kelak. Sama-samalah kita jadikan profession kedoktoran ini sebagai salah satu daripada titik permulaan kepada kita dalam misi memartabatkan Islam kembali seperti disaat kegemilangannya pada zaman rasulallah SAW.

Continue Reading...

18.9.09

Puasa enam syawal dan persoalan mengenainya

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على رسوله الأمين، وعلى آله وصحبه أجمعين.

Ibadah puasa adalah suatu amalan mulia yang amat digalakkan oleh Islam. Selain puasa fardhu Ramadhan, umat Islam juga boleh melakukan ibadat puasa sunat di luar bulan Ramadhan. Ada puasa sunat yang bersifat mingguan (seperti berpuasa pada hari isnin dan khamis), puasa bulanan (tiga hari dalam sebulan) dan puasa tahunan (hari Arafah, ’Asyura’ dan enam hari dalam bulan Syawal).

Puasa adalah satu ibadah yang besar keutamaannya. Abu Hurairah radhiallahu ‘anhu meriwayatkan bahawa Rasulullah sallallahu’alaihiwasallam bersabda, Allah subhanahu wata’aala berfirman (dalam hadis Qudsi):

كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ؛ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ... وَالَّذِي نَفْسُ مُحَمَّدٍ بِيَدِهِ لَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللهِ يَوْمَ الْقِيَامَةِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ
. رواه مسلم.
Maksudnya: “Setiap amal manusia adalah untuk dirinya kecuali puasa, ia adalah untuk-Ku dan Aku memberi ganjaran dengan (amalan puasa itu).” (Rasulullah menjelaskan): “Demi Allah yang jiwa Muhammad berada di tangan-Nya, nafas orang yang berpuasa adalah lebih harum di sisi Allah berbanding wangian kasturi.” [Sahih Muslim no: 1151]

Selain hadis di atas, terdapat banyak hadis lain yang menerangkan keutamaan puasa sunat.
Abu Said Al-Khudri ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
مَنْ صَامَ يَوْمًا فِي سَبِيلِ اللهِ بَعَّدَ اللهُ وَجْهَهُ عَنْ النَّارِ سَبْعِينَ خَرِيفًا
. رواه البخاري.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa satu hari pada jalan Allah, nescaya Allah swt menjauhkan mukanya dari api neraka selama 70 tahun”. [Sahih Al-Bukhari no: 2840]

Di antara puasa sunat ialah puasa enam hari pada bulan Syawal. Bersempena dengan bulan Syawal yang menjelang kini, artikel ini akan membincangkan tentang puasa sunat ini.

Dalil Puasa Sunat Enam Syawal.

Abu Ayyub Al-Ansari ra berkata: Rasulullah saw bersabda:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
. رواه مسلم.
Maksudnya: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.” [Sahih Muslim hadis no: 1164].

Di dalam hadis ini Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa enam hari selepas bulan Ramadhan akan diganjari pahala seolah-olah berpuasa selama setahun.

Para ulama’ menghuraikan rahsia di sebalik ganjaran tersebut dengan mendatangkan dalil bahawa setiap amalan kebaikan manusia akan diganjari sebanyak 10 kali ganda. Puasa 30 hari di bulan Ramadhan diganjari sebanyak 300 hari, manakala puasa 6 hari di bulan Syawal pula diganjari dengan 60 hari. Jika dikira jumlahnya ialah 360 hari, ia hampir menyamai jumlah hari di dalam setahun sebanyak 360 hari. Sesungguhnya Allah swt maha berkuasa untuk memberikan ganjaran sebanyak mana yang dikehendaki-Nya.

Hikmah Puasa Sunat Enam Syawal.

Sebenarnya puasa enam hari ini mempunyai beberapa hikmah yang tertentu dari sudut kesihatan manusia itu sendiri. Puasa selama sebulan penuh di bulan Ramadhan antaranya menyebabkan sistem percernaan di dalam badan berehat seketika di waktu siang selama sebulan. Kedatangan bulan Syawal pula menyebabkan seolah-olah ia mengalami kejutan dengan diberikan tugas mencerna pelbagai makanan pada hari raya dan hari-hari selepasnya. Oleh kerana itulah, puasa enam ini memberikan ruang kembali kepada sistem pencernaan badan untuk berehat dan bertugas secara beransur-ansur untuk kebaikan jasmani manusia itu sendiri.

Selain dari itu, sebagai manusia yang menjadi hamba kepada Allah swt, alangkah baiknya seandainya amalan puasa yang diwajibkan ke atas kita di bulan Ramadhan ini kita teruskan juga di bulan Syawal walaupun sekadar enam hari. Ini seolah-olah menunjukkan bahawa kita tidak melakukan ibadat puasa semata-mata kerana ia menjadi satu kewajipan tetapi kerana rasa diri kita sebagai seorang hamba yang benar-benar bersunguh-sungguh untuk taqarrub kepada tuhannya. Kerana itulah kata ulama’: “Betapa malangnya orang yang hanya mengenal Allah pada bulan Ramadhan, sedangakan pada bulan lain Allah swt dilupai”.

Hukum Puasa Sunat Enam Syawal.

Hukumnya adalah sunat. Berkata Imam An-Nawawi rh: “Hadis ini jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam al-Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama’ yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (pada bulan Syawal).

Imam Malik dan Imam Abu Hanifah pula menganggap hukumnya makruh. Sebabnya kerana bimbang orang ramai akan menyangka ia adalah sebahagian dari puasa Ramadhan (yang wajib hukumnya) padahal ia bukanlah dari puasa Ramadhan.” [Syarah Sahih Muslim 8/56]

Bilakah Dimulakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Puasa sunat enam Syawal paling awal dimulakan pada 2 Syawal. Ini kerana tarikh 1 Syawal adalah hari Eidil Fitri dan kita dilarang dari berpuasa pada hari tersebut. Abu Hurairah ra berkata:
أَنَّ رَسُولَ اللهِ نَهَى عَنْ صِيَامِ يَوْمَيْنِ: يَوْمِ الأَضْحَى، وَيَوْمِ الْفِطْرِ
. رواه مسلم.
Maksudnya: “Nabi saw melarang puasa pada hari (Eidil) Fitri dan (Eidil) Adha.” [Sahih Al-Bukhari no: 1991].

Bagaimana Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal?

Syarat dan adab bagi puasa sunat enam Syawal adalah sama seperti puasa wajib pada bulan Ramadhan.
Persoalan yang menjadi perbincangan di kalangan para ulama’ ialah:

1- Adakah ia dilaksanakan secara berturut-turut selama enam hari atau secara terputus?

Pandangan yang lebih tepat adalah ia boleh dilakukan secara terputus (tidak berturut-turut) asalkan jumlah enam hari dicukupkan sebelum berakhirnya bulan Syawal. Ini kerana apabila Rasulullah saw menganjurkan puasa sunat enam hari ini, baginda menyebut bulan Syawal secara umum tanpa memberi ketentuan hari-harinya. Maka puasa enam tersebut boleh dilaksanakan pada mana-mana hari dalam bulan Syawal asalkan bukan pada 1 Syawal dan bukan sesudah berakhir bulan Syawal.

Namun adalah lebih afdhal disegerakan pelaksanaan puasa enam Syawal berdasarkan umum firman Allah swt:
وَسَارِعُوا إِلَى مَغْفِرَةٍ مِنْ رَبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا السَّمَوَاتُ وَالأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ
. آل عمران: 133
Maksudnya: “Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (ke arah mendapatkan) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” [Surah Aali Imran:133]

2- Melaksanakan Puasa Sunat Enam Syawal Sebelum Mengqadha Puasa Ramadhan.

Wujud perbincangan di kalangan para ulama’, apakah dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal jika seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan yang belum diqadhanya? Ada dua pendapat ulama’ dalam masalah ini.
Pendapat Pertama: Boleh melakukannya, berdasarkan dalil bahawa Aisyah radhiallahu 'anha pernah mengakhirkan hutang puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya hingga ke bulan Sya’ban yang akan datang. Aisyah ra berkata:
كَانَ يَكُونُ عَلَيَّ الصَّوْمُ مِنْ رَمَضَانَ، فَمَا أَسْتَطِيعُ أَنْ أَقْضِيَ إِلا فِي شَعْبَانَ. قَالَ يَحْيَى: الشُّغْلُ مِنْ النَّبِيِّ أَوْ بِالنَّبِيِّ
. رواه البخاري
Maksudnya: “Aku memiliki hutang puasa bulan Ramadhan. Aku tidak mampu mengqadhanya kecuali pada bulan Sya’ban.” Kerana sibuk (melayani) Rasulullah saw. [Sahih Muslim no: 1146. Sahih al-Bukhari, hadis no: 1950, penjelasan “kerana sibuk melayani Rasulullah saw” ialah penjelasan salah seorang perawi hadis yang bernama Yahya bin Sa‘id.]

Para ulama’ yang mengemukakan pendapat pertama berhujah, sudah tentu tidak mungkin isteri Rasulullah saw, yakni Aisyah ra, tidak melaksanakan puasa sunat enam Syawal. Pasti beliau melaksanakannya dan tindakan beliau yang mengqadha puasa Ramadhan pada bulan Sya’ban menunjukkan dibolehkan berpuasa sunat enam Syawal sekali pun seseorang itu memiliki hutang puasa Ramadhan.

Pendapat Kedua: Tidak boleh melakukannya, berdasarkan hadis yang menganjurkan puasa sunat enam Syawal itu sendiri yang telah dikemukakan di awal risalah ini. Hadis tersebut berbunyi: “Sesiapa yang berpuasa Ramadhan kemudian dia mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal maka seperti ia berpuasa sepanjang tahun.”
Rasulullah saw mensyaratkan “berpuasa Ramadhan” terlebih dahulu, kemudian barulah “mengiringinya dengan enam hari dari bulan Syawal”. Ini menunjukkan puasa sunat enam Syawal hanya dilaksanakan sesudah seseorang itu menggenapkan puasa Ramadhannya. Jika ada puasa Ramadhan ditinggalkan, ia perlu diqadha terlebih dahulu. Kemudian barulah diiringi dengan puasa sunat enam Syawal.

Kalau diperhatikan secara teliti, pendapat yang kedua lebih rajih (kuat); Kerana ianya lebih menepati dalil puasa sunat enam Syawal itu sendiri. Selain dari itu, membayar hutang yang wajib hendaklah didahulukan dari memberi sedekah yang sunat. Ini disokong dengan ayat 133 surah Aali Imran yang dikemukakan sebelum ini, yang menganjurkan kita untuk menyegerakan amal kebajikan. Sudah tentu amal yang wajib lebih perlu disegerakan daripada amal yang sunat.

Namun, sekiranya seorang itu tidak berkesempatan (disebabkan keuzuran) untuk melakukan qadha kemudian berpuasa enam dan dia berkeyakinan akan sempat mengqadhakannya sebelum Ramadhan tahun berikutnya, maka pendapat yang pertama boleh diterima, berdasarkan apa yang dilakukan oleh Aisyah ra.

Menurut Imam An-Nawawi rh, Mazhab Malik, Abu Hanifah, Asy-Syafie, Ahmad dan jumhur salaf dan khalaf mengatakan: “Qadha puasa Ramadhan bagi mereka yang berbuka kerana uzur seperti kedatangan haid dan musafir, maka kewajipan mengqadhanya adalah secara bertangguh (’ala at-tarakhi), tidak disyaratkan qadha terus apabila boleh melakukannya”. [Syarah Sahih Muslim 8/22].

Menurut Al-Khatib Asy-Syarbini: “Sesiapa yang tertinggal puasa Ramadhan, sunat dia mengqadhakannya secara berturut-turut dan makruh bagi orang yang ada qadha Ramadhan melakukan puasa sunat”. [Mughni Al-Muhtaj 2/181 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut].

3- Menggabungkan puasa qadha dan puasa enam.

Di antara persoalan yang sering timbul sekitar puasa enam ialah adakah harus menggabungkan di antara dua puasa iaitu puasa qadha dan puasa enam hari di bulan Syawal. Adakah diganjari dengan kedua-dua pahala tersebut dengan puasa yang satu?

Persoalan ini berlaku khilaf di kalangan ulama’, sebahagiannya yang berpendapat tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain, sekiranya dilakukan maka puasanya itu tidak sah, tidak bagi yang fardhu dan tidak bagi yang sunat.

Ada dikalangan ulama’ Syafi’iyyah berpendapat bahawa ganjaran puasa enam tetap akan diperolehi apabila seseorang berpuasa qadha sekalipun ia tidak berniat menggabungkan kedua-duanya, namun pahala yang diperolehi kurang daripada seorang yang berpuasa kedua-duanya secara berasingan. [Lihat: Hasyiah Asy-Syarqawi ‘Ala Tuhfah At-Tullab 1/428, cet, Darul Ma’rifah, Fatawa Al-Azhar 9/261 Al-Maktabah Asy-Syamilah]

Al-Khatib Asy-Syarbini berkata: “Jika seseorang berpuasa qadha atau puasa nazar atau puasa sunat yang lain di bulan Syawal, adakah dia mendapat pahala sunat (Syawal) atau tidak? Saya tidak mendapati pendapat ulama’ yang menyebut tentangnya, dan yang zahirnya adalah dapat pahala tersebut (pahala puasa yang diniatinya). Namun, dia tidak mendapat pahala sebagaimana yang disebut oleh hadis yang menerangkan tentang kelebihan puasa enam tadi, khasnya mereka yang tertinggal puasa Ramadhan kemudian berpuasa pada bulan Syawal. Ini kerana mereka tidak memenuhi maksud hadis tersebut (menyempurnakan puasa Ramadahan kemudian diikuti dengan puasa enam)”. [Mughni Al-Muhtaj 2/184 cet, Darul Kutub Al-Ilmiah, Beirut]

Setelah dikaji, pandangan ulama’ yang membolehkan puasa dua dalam satu ini, tidak bersandarkan mana-mana dalil al-Qur’an dan al-Sunnah. Mereka juga mengatakan amalan ini hanya mendapat pahala kerana kebetulan berpuasa qadha dalam bulan Syawal, sama seperti pahala sunat tahiyyatul masjid dengan solat fardhu (orang yang terus melakukan solat fardhu apabila masuk ke dalam masjid akan mendapat juga pahala sunat tahiyyatul masjid). Wallahu a’lam.

Oleh itu, lakukanlah dua ibadat puasa ini (fardhu dan sunat) secara berasingan, kerana sebagai seorang hamba yang tunduk kepada Allah SWT, memperbanyakkan amalan taqarrub dengan memisahkan di antara yang menjadi kewajipan dengan yang menjadi galakan (sunat) tentulah lebih menunjukkan kesungguhan diri sebagai seorang hamba yang mencari keredhaan Tuhannya. Ini juga lebih berhati-hati (ahwat) dalam ibadat, serta melakukan ibadat dengan yakin adalah lebih utama (aula), kerana ada pendapat ulama’ mengatakan tidak boleh mencampurkan niat puasa sunat dengan puasa fardhu yang lain atau dengan puasa sunat yang lain.

Sebagai kesimpulan, puasa sunat semata-mata kerana Allah (bukan kerana sakit atau ingin berdiet) mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah swt dan sangat digalakkan oleh Rasulullah saw.

Sebagaimana yang diketahui semua amalan sunat adalah sebagai penampal kepada mana-mana kekurangan dalam amalan fardhu. Puasa enam hari pada bulan Syawal ini pula thabit dari sunnah Rasulullah saw. Sepatutnyalah kita mengambil peluang ini untuk berpuasa enam hari pada bulan Syawal.

Sempurnakan dahulu qadha beberapa hari yang tertinggal, kerana kita tidak tahu apakah hayat dan kesihatan yang ada akan berterusan sehingga kita dapat menunaikannya di masa hadapan.

Bagi orang yang tidak sempat melakukan puasa sunat kerana sibuk dengan puasa wajib diharapkan Allah swt akan memberi ganjaran berdasarkan niat dan azamnya. Sebagaimana sabda Nabi saw:
إِذَا مَرِضَ الْعَبْدُ أَوْ سَافَرَ كُتِبَ لَهُ مِثْلُ مَا كَانَ يَعْمَلُ مُقِيمًا صَحِيحًا
. رواه البخاري
Maksudnya: “Apabila seorang hamba Allah sakit atau musafir (beliau tidak dapat melakukan amalan yang biasa dilakukannya) maka dituliskan baginya pahala seperti amalan yang biasa dilakukannya sewaktu tidak bermusafir dan sewaktu sihat” [Sahih Al-Bukhari no. 2834]

Semoga kita semua diberi taufiq dan hidayah oleh Allah swt ke jalan yang di redhai-Nya serta dapat melaksanakan ibadah puasa enam hari di bulan Syawal ini dengan sempurna. Seterusnya kita dimasukkan ke dalam golongan orang yang mendapat kejayaan dunia dan akhirat. Aamin.

وصلى الله على نبينا محمد وعلى آله وصحبه وسلم تسليما إلى يوم الدين

Akhukum: Abu Anas Madani, Pondok Sungai Durian.
04 Syawal 1429h- 041008M
Dipetik dari : TranungKite.net
Continue Reading...

Berhari raya dengan penuh kesyukuran

Hari raya yang merupakan hari kemenangan bagi umat Islam seharusnya disambut dengan penuh rasa syukur yang selayaknya hanya untuk Allah. Kesyukuran dan penghargaan kepadaNya di atas anugerah yang teramat besar dan tidak ternilai kepada hambaNya. Rasa syukur kerana telah dapat menyempurnakan bulan penuh barakah dan rahmah serta telah melalui madrasah tarbiyyah selama sebulan. Kesyukuran juga kerana masih dikurniakan nikmat Syawal sebagai hadiah dari Allah kepada hambaNya.

Rasa syukur ini boleh dizahirkan sama ada melalui hati, lisan mahupun perbuatan yang kesemuanya akan mendatangkan pahala di sisi Allah.

Mencontohi Rasulullah s.a.w

Lazimnya, setelah mendengar pengumuman hari raya di televisyen yang mengatakan hari raya pada keesokan hari, masing-masing akan berteriak dan bergembira. Tidur tidak akan terganggu lagi pada malam itu kerana tidak perlu untuk bangun bersahur. Pada malam itulah semuanya sibuk secara tiba-tiba. Sibuk di dapur, sibuk dengan mercun dan bunga api, dan sibuk ke pusat membeli belah untuk memborong kuih raya yang kebiasaannya menjadi murah di malam raya.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“ sesiapa yang menghidupkan malam Eidulfitri dan Eiduladha, hatinya tidak akan mati tatkala matinya hati-hati orang lain”
Malam raya dikenali sebagai Lailatul Jaaizah (malam pengurnian hadiah). Umat Islam disunatkan bertakbir sepanjang malam hari raya di masjid, surau, mahupun di rumah. Takbir adalah satu cara bagaimana kita dapat melahirkan rasa syukur melalui lisan dan ia menggambarkan satu ajakan untuk melaksanakan perintah Allah .

Malam raya seharusnya dipenuhi dengan beribadah kepada Allah seperti bertakbir, bertasbih, beristighfar, melakukan solat tasbih dan solat-solat sunnat yang lain sebagai memenuhi saranan Nabi untuk menghidupkan malam Eidulfitri ini. Ia juga sebagai suatu bentuk penghargaan dan terima kasih kita kepada pencipta Rabbul izzati di atas ‘hadiah’ yang dikurniakan kepada kita.

Pagi raya

Pada pagi hari raya, disunnatkan untuk mandi sunat Eidulfitri, bersugi, dan memakai wangi-wangian sebelum melakukan solat sunnat Eidulfitri. Kita juga disunnatkan menjamah makanan sebelum pergi ke masjid untuk menunaikan solat Eidulfitri. Dengan aturan yang sedemikian, umat Islam secara tidak langsung telah melahirkan rasa kesyukuran melalui perbuatan.

Umat Islam seterusnya akan mengerjakan solat sunat Eidulfitri secara berjemaah. Solat sunat ini telah disyariatkan sejak tahun pertama hijrah lagi. Ketika Rasulullah s.a.w mula-mula datang ke Madinah, penduduk Madinah telah mempunyai dua hari kebesaran. Lantaran itu Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
“sesungguhnya Allah Tabaraka Wata’ala telah menggantikan dua hari itu dengan yang lebih baik bagi kamu iaitu hari raya Eidulfitri dan Eiduladha”
(HR Ahmad, Abu Daud, Nasa’I dan al-Bihaqi)

Setelah selesainya solat sunat Eidilfitri, khutbah akan disampaikan. Rasulullah s.a.w berkhutbah dengan member amaran dan ancaman terhadap perkara-perkara yang ditegah dan memberi nasihat kepada umat Islam supaya melakukan amalan kebajikan.

Silaturrahim

Umat Islam disunatkan pergi dan pulang dari masjid mengikut jalan yang berbeza. Ini sesuai dengan maksud hadis dari Jabir r.a. yang bermaksud :
“ Nabi s.a.w apabila pergi untuk solat hari raya, maka baginda akan menyalahi jalan”
(HR Bukhari)

‘menyalahi jalan’ di sini bermaksud pergi melalui jalan lain dan pulang melalui jalan yang berbeza, bukan jalan yang sama. Dengan cara ini, kita dapat mengeratkan silaturrahim antara sesama manusia. Apabila pergi dan pulang menggunakan jalan yang berbeza, kita akan berjumpa dengan orang yang berbeza dan di sinilah kita akan dapat berkenalan dan menjalin ikatan antara satu sama lain. Ini jelas menunjukkan Islam menyuruh kita bermasyarakat bukan hidup menyendiri.

Kemudian, setelah itu rasa syukur boleh terus dilanjutkan dengan amalan maaf-bermaafan dan bersalaman serta berziarah sesama keluarga, saudara mara, jiran-jiran serta sahabat handai.
Konsep bermaafan ini mampu menyelesaikan penyakit masyarakat yang lahir dari hati yang kotor.

Bersederhana di hari raya

Bergembira di hari raya dengan pakaian baru, makanan dan kuih-muih hari raya tiada salahnya. Malah disunatkan memakai pakaian baru di pagi raya kerana ia akan menjadi saksi di akhirat kelak bahawa kita telah melahirkan rasa syukur di hari kebesaran yang mulia. Tetapi, yang menjadi kesalahan dan kecuaian masyarakat kini adalah berlebih-lebihan dalam berbelanja bahkan ada yang sanggup berhutang untuk menyambut perayaan. Juga perasaan riak dan menunjuk-nunjuk yang merugikan. Bukan sahaja tidak mendapat pahala sunnat, malah menambah dosa dan amalan itu tertolak dan tidak diterima di sisi Allah.

Apa yang penting, kita seharusnya bersederhana dalam segala yang kita lakukan. Persiapan yang dilakukan hendaklah mengikut kemampuan dan sekadarnya agar kita tidak termasuk golongan sahabat syaitan kerana pembaziran yang dilakukan.
Continue Reading...

13.9.09

Keajaiban Al-Quran diakui Sains & Fakta Ilmu

Bahagian ini, akan mendedahkan secara ringkas isu-isu berikut :

1) Kebenaran maklumat masa depan di dalam al-Quran
2) Kemenangan Byzantin
3) Fakta penting disebalik Perkataan Haman di dalam al-Quran
4) Kewujudan Alam Semesta


1) MAKLUMAT MENGENAI KEJADIAN MASA DEPAN DI DALAM AL-QURAN

Satu lagi aspek keajaiban Al-Qur'an ialah bahawa ianya mendedahkan lebih awal lagi beberapa peristiwa penting yang berlaku di masa hadapan. Ayat 27 surah al-Fath, sebagai contoh menyampaikan khabar gembira bahawa mereka akan menakluk Mekah yang mana ketika itu di bawah penguasaan masyarakat jahiliyyah.

"Sesungguhnya Allah akan membuktikan kepada rasulnya tentang kebenaran mimpinya dengan sebenarnya (iaitu) bahawa sesungguhnya kamu pasti akan memasuki Masjidil Haram, Insya Allah dalam keadaan aman, mencukur rambut dan kepada dan mengguntingnya, sedang kamu ketahui dan Dia memberikan sebelum itu kemenangan yang hampir (Penaklukan Khaibar)." (Surah Al-Fath, 27)

Dalam pertimbangan yang lebih teliti, ayat ini seolah-olah mengumumkan satu lagi kemenangan yang akan terjadi sebelum kemenangan Mekah. Sebenarnya, seperti yang dinyatakan di dalam ayat, orang mukmin akan mula menakluk perkampungan Khaibar, yang mana ketika itu di bawah jajahan Yahudi dan kemudian memasuki Mekah. Pemberitaan mengenai peristiwa ini yang akan terjadi di masa hadapan hanyalah sebahagian dari kebijaksaan di dalam Al-Qur'an. Dan ini juga adalah bukti bahawa Al-Qur'an adalah kalam Tuhan, Maha Mengetahui.

Kemenangan Byzantin adalah secebis daripada khabar berita yang diberikan mengenai masa hadapan, bersama-sama dengan maklumlat lain yang tidak diketahui oleh manusia ketika itu. Hal yang paling menarik mengenai peristiwa sejarah ini, yang akan kita lihat secara terperinci di lembaran berikutnya, iaitu kekalahan kerajaan Rom di kawasan paling rendah di permukaan bumi. Hal ini menarik kerana frasa 'kawasan yang paling rendah' secara khusus di tekan dalam ayat yang berkaitan dengan kemajuan teknologi ketika itu, ianya sangat jelas mustahil untuk membuat pengukuran dan menentukan titik yang paling rendah di muka bumi. Sebenarnya, ini adalah wahyu yang diturunkan kepada umat manusia dari Tuhan yang Maha Mengetahui.

2) KEMENANGAN BYZANTIN

Sepotong ayat menarik yang terdapat di dalam Al-Qur'an mengenai masa hadapan dapat dilihat dalam ayat pertama surah Rom, yang merujuk kepada empayar Byzantin, bahagian timur kerajaan Roman yang ada dahulu. Dalam ayat ini, ianya dinyatakan bahawa empayar Byzantin menemui kekalahan yang besar tetapi kemudianya ia mendapat kemenangan.

"Alif, Lam, Mim. Telah dikalahkan bangsa Rom. Di tanah yang paling rendah di permukaan bumi, dan mereka sesudah dikalahkan itu akan menang dalam berapa tahun. Bagi Allah lah urusan sebelum dan sesudah. (Surah Ar-Rum: 1-4.)

Ayat ini diturunkan lebih kurang tahun 620 sebelum masihi, hampir 7 tahun selepas kekalahan teruk kerajaan kristian Byzantin di tangan kerajaan penyembah berhala Persia. Tetapi ia didedahkan di dalam ayat tersebut bahawa kerajaan Byzantin akan mendapat kemenangan kembali dalam masa yang singkat. Sebenarnya, Byzantin telah awal lebih sengsara menanggung kerugian yang besar yang kelihatan seolah-olah amat mustahil baginya, bahkan untuk kekal bertahan, untuk menang kembali. Bukan sahaja Persia, tetapi Avar, Slav, dan Vonhard juga memberikan ancaman yang besar kepada empayar Byzantin. Kerajaan Avar telah pun menjangkau dinding kota Konstantipol.

Maharaja Byzantin Heraklius telah memerintahkan supaya meleburkan emas dan perak di gereja-gereja untuk mendapatkan wang bagi menampung perbelanjaan ketenteraan, apabila semua ini masih tidak mencukupi bahkan patung-patung gangsa juga dileburkan untuk tujuan yang sama. Banyak gabenor-gabenor memberontak menentang Heraklius. Dan empayar ketika itu berada dalam kedudukan hampir roboh. Mesopotamia, Alicik, Syria, Palestin, Mesir dan Armenia yang pada asalnya berada di bawah jajahan Byzantin, telah pun diceroboh oleh Persia.

Ringkasnya, semua yang ada ketika itu menjangkakan empayar Byzantin akan musnah. Tetapi pada ketika itu, ayat pertama surah Rum diturunkan memaklumkan kemenangan Byzantin dalam beberapa tahun. Kemenangan ini dilihat amat mustahil sehinggakan kaum Arab jahiliyyah mempersendakan ayat ini, mereka beranggapan bahawa kemenangan yang dinyatakan di dalam Al-Qur'an itu tidak akan menjadi kenyataan.

Lebih kurang 7 tahun selepas ayat pertama surah Rom diwahyukan pada Disember 627 selepas masihi, peperangan sengit di antara Byzantin dan empayar Persia berlaku di Ninaveh, dan kali ini, askar Byzantin tidak disangka-sangka berjaya menewaskan tentera Persia. Beberapa bulan kemudian, kerajaan Persia telah membuat perjanjian degan Byzantin, yang mewajibkan mereka menyerahkan kembali kawasan yang mereka rampas. Di akhirnya, kemenangan kerajaan Rom yang dinyatakan oleh Maha Suci di dalam Al-Qur'an, menjadi kenyataan.

Satu lagi keajaiban yang dinyatakan di dalam ayat ini ialah perkhabaran mengenai fakta dari sudut geografi yang tidak diketahui oleh sesiapa pun ketika itu. Dalam ayat ke ketiga surah Rom, kita dimaklumkan bahwa kerajaan Rom telah ditumpaskan di bahagian paling rendah di permukaan bumi. Frasa 'Adna ard' dalam bahasa arab diertikan sebagai 'kawasan yang berhampiran' dalam kebanyakan penafsiran. Tetapi ini bukanlah pengertian literal dari kenyatan yang asal, tetapi lebih berbentuk pentafsiran secara kiasan (metaforik). Perkataan 'adna' dalam bahasa arab berasal dari perkataan' daniy' yang bermaksud 'rendah' dan 'ard' bermaksud bumi. Dengan itu kenyataan 'adna al-ard' memberi erti kawasan yang paling rendah di muka bumi.

Apa yang menarik, saat penting peperangan yang terjadi di antara empayar Byzantin dan Persia ketika Byzantin di tewaskan dan kehilangan wilayah Jerusalem, benar-benar terjadi di titik paling rendah di muka bumi. Kawasan ini dikenali sebagai Teluk Laut Mati yang terletak di titik persilangan antara tanah Syria, Palestin dan Jordan. Laut mati yang terletak 395 meter di bawah paras laut, sebenarnya adalah kawasan paling rendah di muka bumi. Ini bermaksud bahawa kerajaan Byzantin telah ditewaskan di kawasan paling rendah di muka bumi seperti yang dinyatakan dalam ayat tersebut.

Seperkara yang penting di sini ialah fakta bahawa altitud Laut Mati hanya dapat diukur dengan teknik pengukuran moden. Sebelum itu, adalah amat mustahil bagi sesiapun untuk mengetahui bahawa ianya adalah kawasan yang paling rendah di muka bumi. Tetapi hal ini telah disebut di dalam Al-Qur'an, oleh yang demikian bukti ini sekaligus membuktikan bahawa Al-Qur'an adalah wahyu dari Maha Suci Tuhan.


3) FAKTA PENTING DI SEBALIK PERKATAAN HAMAN DI DALAM AL-QUR'AN

Maklumat yang diberikan di dalam Al-Qur'an mengenai tamadun mesir purba mendedahkan banyak fakta-fakta sejarah yang tidak dapat disingkap sehingga akhir-akhir ini. Fakta-fakta ini juga menunjukkan kepada kita bahawa setiap perkataan di dalam Al-Qur'an telah diturunkan oleh Maha Tinggi Bijaksana.

Haman adalah satu watak yang namanya disebut di dalam Al-Qur'an, bersama-sama dengan Firaun. Watak ini dirakamkan di dalam enam tempat yang berbeza di dalam Al-Qur'an. Sebagai seorang yang paling kanan kepada Firaun. Apa yang mengejutkan, nama Haman tidak pernah disebutkan di dalam kitab Taurat yang berhubung dengan sejarah kehidupan nabi Musa a.s. Bagaimanapun, nama Haman disebutkan di bahagian terakhir dalam kitab perjanjian lama sebagai pembantu kepada seorang raja Babylon yang menimpakan banyak kezaliman kepada bangsa Israel lebih kurang 1100 tahun selepas era Nabi Musa.

Segolongan penganut non-muslim, yang mendakwa bahawa nabi Muhammad s.a.w menulis Al-Qur'an dengan menyalin dari kitab Taurat dan Injil, juga menegaskan bahawa sewaktu proses ini Nabi s.a.w memindahkan beberapa subjek berkaitan yang terdapat di dalam kedua-dua kitab ini ke dalam Al-Qur'an secara tidak tepat.

Kemustahilan dakwaan-dakwaan ini akhirnya terdedah hanya setelah alpabet hiroglifik bangsa mesir berjaya ditafsirkan kita-kira 200 tahun lalu, dan nama Haman ditemui di dalam tulisan-tulisan purba. Misteri hiroglifik mesir purba akhirnya berjaya diselesaikan pada tahun 1799 dengan penemuan sebuah batu bersurat yang dinamakan 'Rosetta Stone' .

4) KEWUJUDAN ALAM SEMESTA

Asal usul alam semesta diterangkan dalam Al-Qur'an dalam ayat berikut; “Dia adalah maha Pencipta langit dan bumi”.( Surah al-An'aam:101.)

Maklumat yang dinyatakan dalam Al-Qur'an ini adalah satu fakta yang sangat tepat dan selari dengan penemuan sains kontemporari. Kesimpulan yang dicapai dalam bidang astrofizik hari ini ialah bahawa alam semesta, bersama-sama dengan dimensi benda dan masa, telah terhasil melalui satu letupan yang besar yang terjadi ketika masa-sifar. Fenomena ini yang dikenali sebagai Big Bang membuktikan bahawa alam semesta telah diciptakan dari ketiadaan sebagai satu produk, dari satu letupan titik tunggal. Golongan saintifik moden percaya bahawa Big Bang adalah satu-satunya penerangan paling rasional dan fakta yang dapat dibuktikan mengenai permulaan dan asal kewujudan alam semesta.

Sebelum fenomena Big Bang terjadi, tidak terdapat sebarang benda yang wujud. Dalam keadaan tanpa sebarang kewujudan kebendaan, tenaga atau masa, dan yang mana hanya dapat diterangkan secara metafizik, semuanya ini sebenarnya telah diciptakan. Fakta ini, yang baru diketahui melalui kajian dalam bidang fizik moden, telah dinyatakan dalam Al-Qur'an 1400 tahun lalu.


Sumber: http://www.zaharuddin.net/content/view/62/95/
Dipetik dari iLuvislam.com
Continue Reading...

Kunci Kehebatan Diri Anda

Setiap dari kita sentiasa mencari-cari di mana terletak kekuatan diri.

Sebagai bandingan sesuatu peralatan elektrik atau mesin ada yang meghidupkannya. Iaitu suis atau starter . Dengan memetik suis ,lampu akan bernyala dan enjin akan dihidupkan.

Di mana terletaknya suis bagi kuasa kehebatan manusia. Ia adalah di HATI SANUBARI setiap orang. Sumber kuasa utama adalah di hati. Keyakinan, kepercayaan dan keimanan seseorang adalah terletak di hati.Maka hatilah suis yang akan menjana kehebatan manusia.

Petik sahaja suis di hati anda, tentang apa sahaja keinginan anda . Maka segala tenaga dari setiap getaran sel yang berputar lawan jam iaitu 100 000 km per saat dari diri kita akan pantas menuju kepada kehendak yang membara di hati seseorang.

Setelah suis dah dipetik ia akan menghasilkan tenaga yang maha hebat. Suis ini bermula dengan niat yang dibentuk dalam diri seseorang. Niat adalah seperti tangan yang memetik suis tersebut.

Bagaimana untuk memastikan tenaga ini berkekalan supaya apa yang diniatkan (MATLAMAT) dapat dicapai?

Ianya adalah melalui ikrar yang diulang-ulang pada setiap hari. Kaedah ini telah diamalkan sewaktu kita menunaikan sembahyang 5 waktu. Iaitu semasa doa iftitah kita sering menyebut


Sesungguhnya solatku, ibadahku, Hidupku dan matiku kerana Allah
Tuhan seluruh semesta alam.


Janji ikrar ini sentiasa kita perbaharui setiap solat 5 waktu sehari semalam. Begitu indah sekali ajaran Islam yang mengajar kita untuk mencapai setiap kejayaan perlu ada JANJI DIRI untuk memastikan kekuatan rohani bagi mencapai sesuatu matlamat.

Jadi apa sahaja keinginan anda selagi tidak melanggar syarak, maka pastikan anda sentiasa melafazkan ikrar untuk mencetuskan tenaga maha hebat yang dibekalkan dalam diri anda. Janji diri akan melahirkan kekuatan dan kemantapan hati yang menjadikan anda lebih TABAH (persistence) dalam menempuh apa jua rintangan.

Misalnya anda ingin menjadi seorang penceramah yang hebat maka sentiasa ulangkan perkataan ” Saya janji akan pastikan diri saya akan menjadi penceramah nombor satu di Malaysia” katakan dengan tegas dan sepenuh jiwa raga dan sentiasa diulang-ulangkan paling kurang 5 kali sehari. InsyaAllah , saya amat yakin anda akan berjaya.

Dipetik Dari iLuvislam.com
Artikel asal : mindataqwa
Continue Reading...

11.9.09

Influenza A H1N1

Apakah Influenza A H1N1?

Influenza A H1N1 adalah penyakit respiratori akut yang berjangkit di kalangan babi dan disebabkan oleh virus influenza A. Di kalangan babi, virus ini tersebar melalui titisan air pernafasan dan hubungan secara langsung atau tidak langsung.

Ia juga boleh tersebar melalui babi yang asimptomatik (tidak mempunyai sebarang gejala penyakit tetapi membawa virus Influenza A H1N1).

Berapakah subtypes (jenis) Virus Influenza A yang wujud?

Virus Influenza A H1N1 sentiasa berubah seperti virus influenza yang lain. Terdapat 4 subtypes utama virus influenza A iaitu H1N1 (virus yang biasa ditemui pada babi), H1N2, H3N1 dan H3N2.

Babi boleh dijangkiti virus Avian Influenza (Selesema Burung), virus influenza bermusim manusia, serta virus Swine Influenza (Influenza A H1N1). Babi boleh dijangkiti lebih daripada satu jenis virus pada satu masa. Ini menyebabkan gen virus tersebut bercampur dan menghasilkan virus influenza yang mengandungi gen daripada pelbagai sumber, dikenali sebagai virus yang bercampur (reassortant) .

Walaupun virus Influenza A H1N1 pada kebiasaannya adalah spesis yang spesifik dan hanya menjangkiti babi, namun virus ini boleh menjangkiti manusia. Virus influenza yang dijumpai pada babi pada masa kini adalah virus H1N1.

Di manakah kes jangkitan terhadap manusia pernah terjadi?

Sejak pelaksanaan Peraturan Kesihatan Antarabangsa (IHR) pada 2007, Pertubuhan Kesihatan Sedunia telah melaporkan kes Influenza A H1N1 dari Amerika Syarikat dan Sepanyol. Pada masa ini negara-negara yang terjejas dengan kes Influenza A H1N1 adalah Mexico, Amerika Syarikat dan Kanada.

Untuk maklumat terkini tentang negara-negara yang terjejas, sila rujuk laman web http://www.moh.gov.my

Apakah tanda dan gejala Influenza A H1N1 pada manusia?

Tanda dan gejala Influenza A H1N1 pada manusia adalah serupa dengan gejala selesema manusia termasuk demam, batuk, sakit tekak, sakit-sakit badan, sakit kepala serta badan berasa sejuk dan lesu. Terdapat juga sesetengah kes yang mengalami cirit birit dan muntah.

Adakah babi dan produknya selamat untuk dimakan?

Ya. Tiada bukti mengaitkan Influenza A H1N1 boleh dipindahkan melalui makanan sekiranya daging atau produk babi disediakan atau dimasak secara betul. Virus Influenza A H1N1 boleh dihapuskan dengan suhu masakan 160 ° F/70 ° C, sejajar dengan panduan am bagi menyediakan daging babi dan daging lain. (tidak bermakna anda boleh makan babi atau menggunakan produknya kerana ianya haram)

Bagaimana manusia boleh dijangkiti?

Manusia selalunya dijangkiti Influenza A H1N1 melalui hubungan langsung dengan babi atau persekitaran yang dijangkiti virus Influenza A H1N1. Terdapat kes di mana manusia yang dijangkiti tidak mempunyai sejarah hubungan secara langsung dengan haiwan ini atau persekitarannya. Jangkitan manusia kepada manusia yang telah dilaporkan adalah terhad kepada hubungan rapat di kalangan manusia dan di dalam kumpulan-kumpulan kecil.

Apakah rawatan bagi Influenza A H1N1?

Kebanyakan kes Influenza A H1N1 yang dilaporkan sebelum ini pulih sepenuhnya daripada penyakit itu tanpa memerlukan rawatan dan antiviral.

Bagi kes yang lebih kritikal, WHO ada mencadangkan ubat antiviral oseltamivir (Tamiflu) dan zanamivir (Relenza) digunakan untuk rawatan Influenza A H1N1.

Berapakah tempoh masa jangkitan Influenza A H1N1 daripada manusia kepada manusia yang lain ?

Mereka yang dijangkiti virus Influenza A H1N1 boleh menyebarkan penyakit ini selagi mereka mempunyai gejala penyakit dan boleh berlanjutan selama 7 hari daripada tarikh mendapat jangkitan (onset) .

Kanak-kanak, terutamanya yang masih kecil, berpotensi menyebarkan penyakit ini pada tempoh yang lebih panjang.

Apa yang boleh dilakukan untuk melindungi diri anda daripada sakit?

Elakkan penyebaran kuman Influenza A dengan mengambil langkah-langkah berikut:

• Jika anda batuk atau bersin:

* Tutup hidung dan mulut anda dengan tisu atau sapu tangan
* Buang tisu yang telah digunakan di bakul sampah
* Basuh tangan dengan sabun dan air bersih
* Amalkan kebersihan diri. Basuh tangan dengan kerap menggunakan sabun dan air, terutamanya selepas anda batuk. Pembersih tangan berasaskan alkohol juga boleh digunakan.
* Elakkan berhubung rapat dengan mereka yang sakit.
* Jika anda sakit kerana selesema, duduk di rumah dan hadkan hubungan dengan orang lain bagi memastikan anda tidak menjangkiti mereka. Elakkan daripada menyentuh mata, hidung atau mulut anda.
* Segera dapatkan rawatan di kemudahan kesihatan berdekatan sekiranya anda mengalami tanda dan gejala penyakit ini setelah pulang dari negara atau kawasan yang dijangkiti Influenza A H1N1.



Artikel Asal : http://www.iluvislam.com/v1/readarticle.php?article_id=1906
Continue Reading...

Iktikaf : Laluan menuju lailatulqadr

Dalam kitab-kitab feqah dan kebanyakan kitab hadis, bab iktikaf diletakkan di bawah tajuknya yang khusus. Dan ia menyusul selepas perbahasan persoalan puasa menunjukkan betapa iktikaf dan puasa adalah ‘pasangan’ ibadah yang tidak boleh dipisahkan. Saling melengkapi antara satu sama lain.

Memang pada asasnya iktikaf boleh dilakukan pada bila-bila masa, namun apabila mensabitkan dengan bulan Ramadhan, ia lebih dititikberatkan lagi. Apatah lagi dengan kedudukannya dalam kelompok ibadah yang dihukumkan sunat muakad- walaupon sunat tetapi sangat dituntut melakukannya pada bulan Ramadhan yang mulia ini.

Sepuluh hari yang terakhir Ramadhan menjadi pilihan utama Rasulullah s.a.w beriktikaf. Sampailah baginda wafat, baginda tidak pernah meninggalkannya. Amalan baginda itu kemudian dipusakai pula oleh sekalian Ummul Mukminin r.ha. Saidatina Aisyah r.ha memberitahu yang bermaksud:
“nabi s.a.w beriktikaf pada tiap-tiap sepulu yang akhir bulan Ramadhan sehingga baginda wafat. Kemudian para isteri baginda meneruskan iktikaf seperti itu, sesudah baginda wafat”
(HR Imam Muslim)

Pastinya pada jiwa para isteri baginda sudah terbentuk kesan didikan yang amat terang. Kerana dalam pelajaran iktikaf ini, mereka ‘menadah kitab’ di hadapan Rasulullah s.a.w sendiri sebagaimana yang diakui oleh Saidatina Aisyah r.ha yang bermaksud:
“nabi s.a.w apabila masuk sepuluh malam (akhir ramadhan), baginda bangun malam. Menegtatkan lagi ikatan pinggang(bersemangat) dan membangunkan ahli keluarganya”
(HR Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Nasa’I dan Ibnu Majah)

Hanya pada hari ini, beriktikaf di sepuluh terakhir Ramadhan tidak lagi popular pengamalannya. Sekadar ditekankan kepentingannya dalam majlis-majlis tazkirah Ramadhan. Tetapi kurang praktikalnya. Jika seseorang hanya berpuasa di siang harinya sahaja, Ramadhannya itu masih dikira cacat dan tempang melainkan jika ditambahkan dengan ibadah-ibadah sunnah yang lainnya seperti tarawih, tadarus al-Quran dan sebagainya.

Sungguhpun begitu, ia masih nampak celanya. Sehinggalah diperelokkan lagi dengan beriktikaf pada sepuluh Ramadhan yang terakhir. Tidak ada ibadah ini melainkan kerana ia menjadi syarat yang paling utama untuk mendapat anugerah lailatulqadr.

Demikianlah yang difahami daripada hadis-hadis baginda s.a.w. Persoalan lailatulqadr diperkatakan serentak dengan perkara iktikaf. Bahkan dalam beberapa hadis panjang, ada diriwayatkan kisah atau peristiwa di mana rasulullah keluar dari tempat iktikaf baginda untuk mengkhabarkan tentang lailatulqadr.

Bermakna, rasul s.a.w tidak menunjukkan sunnah yang lain selain daripada beriktikaf jika seseorang itu berhajat benar mahukan hadiah lailatulqadr. Menghidupkan malam-malam terakhir Ramadhan dan dengan ibadah tafakur di masjid. Bukan dengan menekuni tugasan-tugasan yang tertangguh pada sebelah siangnya tadi.

Apatah lagi diisi dengan perbualan kosong di restoren atau di hadapan televisyen. Apa yang boleh difahami daripada syarat yang digariskan oleh Rasulullah ialah kita mesti membebaskan hati dan minda daripada sebarang kesibukan duniawi. Datang kepada Allah dengan seluruh jiwa raga yang memang benar-benar mengharapkan keampunan Allah.

Dalam situasi begitu, kemurnian niat lebih terpelihara. Daripada niat yang suci itu akan lebih menyerlahkan keikhlasan. Keikhlasan itulah yang diangkat ke tempat paling utama pada pandangan Allah. Setidak-tidaknya, dengan kemurahan dan rahmat Allah, niat yang ikhlas itu pun sudah layak menerima imbalan yang tidak terhingga dariNya.

Persoalannya, apakah yang memberatkan kita untuk menghidupkan sunnah Rasulullah beriktikaf pada sepuluh terakhir Ramadhan ini?Imam Malik member jawapan :
“sesungguhnya kebanyakan mereka meninggalkan sunnah iktikaf itu kerana amalan itu berhajat kepada kesungguhan yang sangat kuat”
Berhajat kepada kesungguhan yang sangat kuat..bererti yang betul-betul mahu sahaja akan cuba dan bermujahadah untuk melakukannya. Dengan kemahuan yang kuat akan berupaya menghasilkan kemampuan. Kemahuan datangnya dari hati. Kemampuan pula bergantung kepada nafsu. Mampu atau tidak kita mendesak nafsu untuk melakukan ibadah yang mulia itu tergantung kepada mujahadah kita.

Syarat, rukun, sah dan batal mestilah dijaga agar iktikaf kita diterima sebagai ibadah yang sah, yang kemudiannya diharapkan membawa kepada natijah yang lebih tinggi. Beriktikaf pada malam terakhir Ramadhan bukanlah ibadah yang mudah. Tidak hairanlah ia menjadi satu-satunya laluan yang perlu direntas untuk memperoleh sebesar-besar keberkatan dan kemuliaan dalam hidup.

Iktikaf berkehendakkan tempat iaitu di masjid. Beberapa orang isteri nabi s.a.w pernah meminta kebenaran untuk ingin turut bersama beriktikaf bersama Rasul s.a.w di masjid. Baginda tidak melarang, sedangkan dalam waktu-waktu lain solat berjemaah di masjid tidak digalakkan bagi seorang wanita. Besarnya rahsia dan fadhilat iktikaf, tradisi itu tetap diteruskan walalupon selepas kewafatan baginda s.a.w.

Apa pun, beriktikaf di sepuluh malam terakhir Ramadhan memang sangat disuruh oleh Allah. Cuma tidak sampai ke peringkat wajib. Ia adalah bukti kesungguhan usaha seorang hamba dalam ikhtiarnya menagih rahmat dan keampunan Allah. Rahmat dan keampunanNya menjadi tembok pelidung daripada sambaran api neraka.

Kerana itulah ramadhan awalmya rahmat, pertengahannya maghfirah dan hujungnya pelepasan dari api neraka. Iktikaf adalah formula terbaik yang diajar oleh Rasulullah s.a.w menuju lailatulqadr. Baginda tidak pernah mencuaikannya. Bahkan pada tahun kewafatan Rasulullah, baginda beriktikaf selama 20hari terakhir Ramadhan.
Continue Reading...
 

Blogroll

Site Info

Kalam Admin

Ahlan wasahlan wamarhaban bikum. Semoga maklumat yang tertera dalam blog ini bermanfaat bersama

Mediczagazig3 © Copyright 2009 | All Rights Reserved by mediczagazig and PERUBATAN | Design by Unit Penerbitan PERUBATAN Zagazig
No part of the content or the blog to be reproduced without prior written permission.