Layari Laman Kami:

18.9.09

Berhari raya dengan penuh kesyukuran

Hari raya yang merupakan hari kemenangan bagi umat Islam seharusnya disambut dengan penuh rasa syukur yang selayaknya hanya untuk Allah. Kesyukuran dan penghargaan kepadaNya di atas anugerah yang teramat besar dan tidak ternilai kepada hambaNya. Rasa syukur kerana telah dapat menyempurnakan bulan penuh barakah dan rahmah serta telah melalui madrasah tarbiyyah selama sebulan. Kesyukuran juga kerana masih dikurniakan nikmat Syawal sebagai hadiah dari Allah kepada hambaNya.

Rasa syukur ini boleh dizahirkan sama ada melalui hati, lisan mahupun perbuatan yang kesemuanya akan mendatangkan pahala di sisi Allah.

Mencontohi Rasulullah s.a.w

Lazimnya, setelah mendengar pengumuman hari raya di televisyen yang mengatakan hari raya pada keesokan hari, masing-masing akan berteriak dan bergembira. Tidur tidak akan terganggu lagi pada malam itu kerana tidak perlu untuk bangun bersahur. Pada malam itulah semuanya sibuk secara tiba-tiba. Sibuk di dapur, sibuk dengan mercun dan bunga api, dan sibuk ke pusat membeli belah untuk memborong kuih raya yang kebiasaannya menjadi murah di malam raya.

Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud :
“ sesiapa yang menghidupkan malam Eidulfitri dan Eiduladha, hatinya tidak akan mati tatkala matinya hati-hati orang lain”
Malam raya dikenali sebagai Lailatul Jaaizah (malam pengurnian hadiah). Umat Islam disunatkan bertakbir sepanjang malam hari raya di masjid, surau, mahupun di rumah. Takbir adalah satu cara bagaimana kita dapat melahirkan rasa syukur melalui lisan dan ia menggambarkan satu ajakan untuk melaksanakan perintah Allah .

Malam raya seharusnya dipenuhi dengan beribadah kepada Allah seperti bertakbir, bertasbih, beristighfar, melakukan solat tasbih dan solat-solat sunnat yang lain sebagai memenuhi saranan Nabi untuk menghidupkan malam Eidulfitri ini. Ia juga sebagai suatu bentuk penghargaan dan terima kasih kita kepada pencipta Rabbul izzati di atas ‘hadiah’ yang dikurniakan kepada kita.

Pagi raya

Pada pagi hari raya, disunnatkan untuk mandi sunat Eidulfitri, bersugi, dan memakai wangi-wangian sebelum melakukan solat sunnat Eidulfitri. Kita juga disunnatkan menjamah makanan sebelum pergi ke masjid untuk menunaikan solat Eidulfitri. Dengan aturan yang sedemikian, umat Islam secara tidak langsung telah melahirkan rasa kesyukuran melalui perbuatan.

Umat Islam seterusnya akan mengerjakan solat sunat Eidulfitri secara berjemaah. Solat sunat ini telah disyariatkan sejak tahun pertama hijrah lagi. Ketika Rasulullah s.a.w mula-mula datang ke Madinah, penduduk Madinah telah mempunyai dua hari kebesaran. Lantaran itu Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud :
“sesungguhnya Allah Tabaraka Wata’ala telah menggantikan dua hari itu dengan yang lebih baik bagi kamu iaitu hari raya Eidulfitri dan Eiduladha”
(HR Ahmad, Abu Daud, Nasa’I dan al-Bihaqi)

Setelah selesainya solat sunat Eidilfitri, khutbah akan disampaikan. Rasulullah s.a.w berkhutbah dengan member amaran dan ancaman terhadap perkara-perkara yang ditegah dan memberi nasihat kepada umat Islam supaya melakukan amalan kebajikan.

Silaturrahim

Umat Islam disunatkan pergi dan pulang dari masjid mengikut jalan yang berbeza. Ini sesuai dengan maksud hadis dari Jabir r.a. yang bermaksud :
“ Nabi s.a.w apabila pergi untuk solat hari raya, maka baginda akan menyalahi jalan”
(HR Bukhari)

‘menyalahi jalan’ di sini bermaksud pergi melalui jalan lain dan pulang melalui jalan yang berbeza, bukan jalan yang sama. Dengan cara ini, kita dapat mengeratkan silaturrahim antara sesama manusia. Apabila pergi dan pulang menggunakan jalan yang berbeza, kita akan berjumpa dengan orang yang berbeza dan di sinilah kita akan dapat berkenalan dan menjalin ikatan antara satu sama lain. Ini jelas menunjukkan Islam menyuruh kita bermasyarakat bukan hidup menyendiri.

Kemudian, setelah itu rasa syukur boleh terus dilanjutkan dengan amalan maaf-bermaafan dan bersalaman serta berziarah sesama keluarga, saudara mara, jiran-jiran serta sahabat handai.
Konsep bermaafan ini mampu menyelesaikan penyakit masyarakat yang lahir dari hati yang kotor.

Bersederhana di hari raya

Bergembira di hari raya dengan pakaian baru, makanan dan kuih-muih hari raya tiada salahnya. Malah disunatkan memakai pakaian baru di pagi raya kerana ia akan menjadi saksi di akhirat kelak bahawa kita telah melahirkan rasa syukur di hari kebesaran yang mulia. Tetapi, yang menjadi kesalahan dan kecuaian masyarakat kini adalah berlebih-lebihan dalam berbelanja bahkan ada yang sanggup berhutang untuk menyambut perayaan. Juga perasaan riak dan menunjuk-nunjuk yang merugikan. Bukan sahaja tidak mendapat pahala sunnat, malah menambah dosa dan amalan itu tertolak dan tidak diterima di sisi Allah.

Apa yang penting, kita seharusnya bersederhana dalam segala yang kita lakukan. Persiapan yang dilakukan hendaklah mengikut kemampuan dan sekadarnya agar kita tidak termasuk golongan sahabat syaitan kerana pembaziran yang dilakukan.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogroll

Site Info

Kalam Admin

Ahlan wasahlan wamarhaban bikum. Semoga maklumat yang tertera dalam blog ini bermanfaat bersama

Mediczagazig3 © Copyright 2009 | All Rights Reserved by mediczagazig and PERUBATAN | Design by Unit Penerbitan PERUBATAN Zagazig
No part of the content or the blog to be reproduced without prior written permission.