Memang pada asasnya iktikaf boleh dilakukan pada bila-bila masa, namun apabila mensabitkan dengan bulan Ramadhan, ia lebih dititikberatkan lagi. Apatah lagi dengan kedudukannya dalam kelompok ibadah yang dihukumkan sunat muakad- walaupon sunat tetapi sangat dituntut melakukannya pada bulan Ramadhan yang mulia ini.
Sepuluh hari yang terakhir Ramadhan menjadi pilihan utama Rasulullah s.a.w beriktikaf. Sampailah baginda wafat, baginda tidak pernah meninggalkannya. Amalan baginda itu kemudian dipusakai pula oleh sekalian Ummul Mukminin r.ha. Saidatina Aisyah r.ha memberitahu yang bermaksud:
“nabi s.a.w beriktikaf pada tiap-tiap sepulu yang akhir bulan Ramadhan sehingga baginda wafat. Kemudian para isteri baginda meneruskan iktikaf seperti itu, sesudah baginda wafat”
(HR Imam Muslim)
Pastinya pada jiwa para isteri baginda sudah terbentuk kesan didikan yang amat terang. Kerana dalam pelajaran iktikaf ini, mereka ‘menadah kitab’ di hadapan Rasulullah s.a.w sendiri sebagaimana yang diakui oleh Saidatina Aisyah r.ha yang bermaksud:
“nabi s.a.w apabila masuk sepuluh malam (akhir ramadhan), baginda bangun malam. Menegtatkan lagi ikatan pinggang(bersemangat) dan membangunkan ahli keluarganya”
(HR Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Nasa’I dan Ibnu Majah)
Hanya pada hari ini, beriktikaf di sepuluh terakhir Ramadhan tidak lagi popular pengamalannya. Sekadar ditekankan kepentingannya dalam majlis-majlis tazkirah Ramadhan. Tetapi kurang praktikalnya. Jika seseorang hanya berpuasa di siang harinya sahaja, Ramadhannya itu masih dikira cacat dan tempang melainkan jika ditambahkan dengan ibadah-ibadah sunnah yang lainnya seperti tarawih, tadarus al-Quran dan sebagainya.
Sungguhpun begitu, ia masih nampak celanya. Sehinggalah diperelokkan lagi dengan beriktikaf pada sepuluh Ramadhan yang terakhir. Tidak ada ibadah ini melainkan kerana ia menjadi syarat yang paling utama untuk mendapat anugerah lailatulqadr.
Demikianlah yang difahami daripada hadis-hadis baginda s.a.w. Persoalan lailatulqadr diperkatakan serentak dengan perkara iktikaf. Bahkan dalam beberapa hadis panjang, ada diriwayatkan kisah atau peristiwa di mana rasulullah keluar dari tempat iktikaf baginda untuk mengkhabarkan tentang lailatulqadr.
Bermakna, rasul s.a.w tidak menunjukkan sunnah yang lain selain daripada beriktikaf jika seseorang itu berhajat benar mahukan hadiah lailatulqadr. Menghidupkan malam-malam terakhir Ramadhan dan dengan ibadah tafakur di masjid. Bukan dengan menekuni tugasan-tugasan yang tertangguh pada sebelah siangnya tadi.
Apatah lagi diisi dengan perbualan kosong di restoren atau di hadapan televisyen. Apa yang boleh difahami daripada syarat yang digariskan oleh Rasulullah ialah kita mesti membebaskan hati dan minda daripada sebarang kesibukan duniawi. Datang kepada Allah dengan seluruh jiwa raga yang memang benar-benar mengharapkan keampunan Allah.
Dalam situasi begitu, kemurnian niat lebih terpelihara. Daripada niat yang suci itu akan lebih menyerlahkan keikhlasan. Keikhlasan itulah yang diangkat ke tempat paling utama pada pandangan Allah. Setidak-tidaknya, dengan kemurahan dan rahmat Allah, niat yang ikhlas itu pun sudah layak menerima imbalan yang tidak terhingga dariNya.
Persoalannya, apakah yang memberatkan kita untuk menghidupkan sunnah Rasulullah beriktikaf pada sepuluh terakhir Ramadhan ini?Imam Malik member jawapan :
“sesungguhnya kebanyakan mereka meninggalkan sunnah iktikaf itu kerana amalan itu berhajat kepada kesungguhan yang sangat kuat”Berhajat kepada kesungguhan yang sangat kuat..bererti yang betul-betul mahu sahaja akan cuba dan bermujahadah untuk melakukannya. Dengan kemahuan yang kuat akan berupaya menghasilkan kemampuan. Kemahuan datangnya dari hati. Kemampuan pula bergantung kepada nafsu. Mampu atau tidak kita mendesak nafsu untuk melakukan ibadah yang mulia itu tergantung kepada mujahadah kita.
Syarat, rukun, sah dan batal mestilah dijaga agar iktikaf kita diterima sebagai ibadah yang sah, yang kemudiannya diharapkan membawa kepada natijah yang lebih tinggi. Beriktikaf pada malam terakhir Ramadhan bukanlah ibadah yang mudah. Tidak hairanlah ia menjadi satu-satunya laluan yang perlu direntas untuk memperoleh sebesar-besar keberkatan dan kemuliaan dalam hidup.
Iktikaf berkehendakkan tempat iaitu di masjid. Beberapa orang isteri nabi s.a.w pernah meminta kebenaran untuk ingin turut bersama beriktikaf bersama Rasul s.a.w di masjid. Baginda tidak melarang, sedangkan dalam waktu-waktu lain solat berjemaah di masjid tidak digalakkan bagi seorang wanita. Besarnya rahsia dan fadhilat iktikaf, tradisi itu tetap diteruskan walalupon selepas kewafatan baginda s.a.w.
Apa pun, beriktikaf di sepuluh malam terakhir Ramadhan memang sangat disuruh oleh Allah. Cuma tidak sampai ke peringkat wajib. Ia adalah bukti kesungguhan usaha seorang hamba dalam ikhtiarnya menagih rahmat dan keampunan Allah. Rahmat dan keampunanNya menjadi tembok pelidung daripada sambaran api neraka.
Kerana itulah ramadhan awalmya rahmat, pertengahannya maghfirah dan hujungnya pelepasan dari api neraka. Iktikaf adalah formula terbaik yang diajar oleh Rasulullah s.a.w menuju lailatulqadr. Baginda tidak pernah mencuaikannya. Bahkan pada tahun kewafatan Rasulullah, baginda beriktikaf selama 20hari terakhir Ramadhan.
0 comments:
Post a Comment