“sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda : “ Carilah Lailatul Qadr pada malam sepuluh terakhir. Namun juka salah seorang daripada kamu ada yang tidak kuat, maka hari yang ketujuh terakhir jangan sampai dia dilewatkan”
(Sahih Muslim)
Al-Qadr bererti kemuliaan atau kedudukan yang tinggi. Lailatuqadr bererti Malam Yang Mulia. Ia juga dikenali sebagai ‘malam seribu bulan’ kerana sesiapa yang beribadah pada malam itu adalah lebih baik daripada beribadah selama 1000 bulan. Keistimewaan ini hanya diberikan oleh Allah kepada umat Nabi Muhammad s.a.w sahaja. Maksud firman Allah :
“sesungguhnya Kami telah menurunkan ia pada malam kemuliaan. Dan adakah engkau tahu apa itu malam kemuliaan? Malam kemuliaan itu adalah lebih utama daripada seribu bulan. Turunnya malaikat dan roh dengan izin Tuhan mereka dari tiap-tiap perintah. Sejahtera ia sehinggan terbit fajar.”
(Al-Qadr)
Kesemua malaikat yang turun ke bumi ini akan masuk ke dalam semua rumah penghuni bumi melainkan rumah yang didapati ada anjing, atau babi atau perkara-perkara yang diharamkan atau gambar-gambar patung. Kesemua mereka akan mengucap tasbih dan tahlil di samping memohon keampunan untuk umat Muhammad s.a.w sehingga terbit fajar.
Menurut riwayat Kaab pula, kesemua malaikat akan turun ke bumi bersama malaikat Jibril dan bersalaman dengan semua manusia, dan boleh didapati tanda manusia bersalaman dengan Jibril iaitu kecut kulit badannya, gerun di dalam hatinya, dan mengalir air mata dari kedu-dua belah matanya.
Dalam erti kata lain, sesiapa yang terpilih untuk bersalaman dengan malaikat Jibril ialah mereka yang beribadah dengan oenuh khusyuk dan tawaduk pada malam itu, meminta keampuanan di atas dosa-dosa mereka selama ini sehingga hati rasa kecut dan mereka menangis penuh keinsafan menangisi kemaksiatan dan dosa yang telah dilakukan.
Pada malam ini, Allah telah menghidupkan hati-hati manusia yang ingin melakukan amal-amal soleh. insyaAllah bagi mereka yang ada niat untuk melakukan ibadah pada malam ini dengan ikhlas akan dipermudahkan untuk melakukan dan mengayati ibadah dibandingkan dengan malam-malam lain.
Tanda-tanda lailatulqadr
Menurut hadis daripada Imam Ahmad dan al-Baihaqi yang diriwayatkan daripada Ibadat bin Samad yang tercatat di dalam tafsir al-Maani yang bermaksud:
“sesetengah daripada tanda-tanda lailatulqadr ialah suasana malamnya itu sunyi dan tenang, sederhana, tidak begitu panas dan sejuk seolah-olah didapati bulan purnama sedang mengembang yang tidak dikelilingi bintang-bintang, keadaan ini berlarutan sehingga ke subuh”
Bilakah lailatulqadr?
Sesetengah ulama’ berpendapat bahawa lailatulqadr jatuh pada malam yang ganjil sesudah tanggal 20 Ramadhan iaitu 21, 23, 25, 27, atau 29 Ramadhan terutama malam ke27. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :
“jaga-jagalah (intailah) malam al-Qadr pada malam ganjil di antara sepuluh malam yang akhir dari bulan Ramadhan.”
(HR Imam Bukhari)
“sesiapa yang ingin mengintai malam al-Qadr maka hendaklah berjaga-jaga pada malam Ramadhan yang kedua puluh tujuh.”
(Riwayat Imam dengan sanad sahih)
Namun, apa yang penting adalah istiqomah kita dalam melakukan ibadah semata-mata mengharap keampunan dari Allah. Ibdah yang berpanjangan(istimrar) tetapi sedikit adalah lebih baik daripada ibadah yang banyak tetapi dibuat hanya sekali.
Ibadah yang elok dilakukan
Menurut tafsir al-Maani, pada mala mini disunatkan berdoa kepada Allah kerana lailatulqadr adalah waktu di mana segala doa diterima. Diriwayatkan dari Aisyah r.ha yang bermaksud:
“aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w jika aku bertemu lailatulqadr maka apa yang hendak aku katakan?maka jawab baginda, katakanlah ‘wahai tuhanku, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau menggemari kemaafan, maka maafkanlah aku. Seterusnya kerjakanlah ibadah-ibadah lain seperti solat dan sebagainya”
Rasulullah menyuruh kita bertaubat memohon keampunan dari Allah terlebih dahulu sebelum melakukan ibdah-ibadah yang lain. Dan seandainya kita tidak berkesempatan atau tidak berkeupayaan, setidak-tidaknya kita bersungguh-sungguh berdoa agar Allah mengampunkan dosa-dosa kita.
Selain itu, ahsannya kita melakukan solat-solat sunat, membaca al-Quran , berdoa, berzikir, dan bertafakur selain beriktikaf di masjid-masjid.
0 comments:
Post a Comment