Layari Laman Kami:

3.9.09

Kembara Rohani Menuju Fitrah

Penumpuan nilaian Allah dalam setiap amalan dan ibadah yang dilakukan sepanjang Bulan Ramadhan yang penuh barakah ini adalah kualiti HATI kita. Allah tidak menilai fizikal hambanya tetapi apa yang dinilai adalah rohani kita. Walaupon orang sekeliling melihat kita bersama-sama menahan diri dari sebarang makanan dan minuman pada siangnya, bersama-sama mendirikan solat tarawih pada malamnya, bertadarus Al-Quran, bersahur dan berbuka , akan tetapi tidak ada sesiapa yang tahu pekerjaan hati kita kecuali Allah sedang perjalanan hati inilah nilai sebenar amal ibadah kita di sisi Allah.

Puasa sebulan di Bulan Ramadhan yang Allah wajibkan ke atas kita adalah antara latihan jiwa untuk menjadikan kita orang yang bertaqwa sebagaimana dijelaskan dalam firmanNya yang bermaksud :

“ wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa”
( Al-Baqarah: 183)

Adakah amal ibadah kita sepanjang Ramadhan membuahkan taqwa? Ianya tergantung kepada apa yang ada di dalam hati kita kerana hati merupakan hakikat sebenar diri kita. Persoalannya, adakah hati kita benar-benar dapat menghayati tuntutan tersirat dari perintah ‘menahan diri’ yang asasnya menahan keinginan makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa itu?

Walaupon kita mampu menahan lapar dan dahaga agar puasa kita tidak terbatal, adakah kita dapat menahan keinginan dari bercakap yang haram, mendengar yang haram, serta melakukan perbuatan yang haram yang melibatkan anggota kita termasuk tangan, kaki, mata, mulut, telinga dan kemaluan? Sedangkan semua keinginan itu lahir dari hati kita. Sesuatu yang tidak dapat dilihat dengan mata kasar.

Dalam kepayahan untuk patuh kepada perintah ‘menahan diri’ ini, hati kita akan bertalik tali dengan nafsu yang meronta-ronta untuk lepas dari ‘kongkongan’ syariat dan desakan fitrah. Apa yang dilarang Allah itulah yang disuruh nafsu untuk dilakukan dan sebaliknya. Payah atau mudah, hati perlu dijaga untuk dikembalikan kepada fitrahnya yang bersih. Jika kita bersungguh-sungguh dan ikhlas, insyaAllah di hujung perjuangan untuk mengembalikan hati kepada fitrah ini ada kemanisannya dan akan dibantu oleh Allah seperti firmanNya yang bermaksud :

“ siapa yang bermujahadah di jalan Kami, Kami akan tunjukkan jalan Kami “
( Al-Ankabut : 69)

Andainya kita merasa amat payah untuk membersihkan hati dan menundukkan nafsu di bulan-bulan lain, Ramadhan hadir membawa sinar yang bercahaya. Dengan limpahan rahmat Allah yang turun bersama kedatangan Ramadhan ini, mudah-mudahan ia menjadi titik mula bagi kita untuk membersihkan hati dari sifat-sifat keji (mazmumah) dan tompok-tompok dosa. Moga puasa dan ibadah-ibadah kita sepanjang Ramadhan dapat membantu kita membersih dan menyucikan hati serta mengembalikannya semula kepada fitrahnya seterusnya dapat mencapai tahap taqwa.

Apa yang paling sukar dalam kembara rohani ini adalah bagaimana menundukkan ego di dalam hati yang merupakan tugas hati. Ego bukanlah harus dikikis atau dibuang secara total, tetapi hendaklah dikawal dan ditundukkan agar tidak merangsang tindak tanduk yang negative. Ego yang tidak dikawal menyebabkan hati mudah dikuasai perasaan marah, benci, hasad dengki, dendam dan buruk sangka. Perasaan negative ini seterusnya melahirkan perlakuan yang negative juga. Berpuasa tetapi mudah marah, suka mengata, bersolat hanya untuk diperlihatkan, bersedekah hanya untuk dipuji, pokoknya segala amalan dilakukan kerana manusia bukan Lillahi Ta’ala.

Rugilah andai kita tidak mengambil peluang dari kelebuhan dan kebesaran bulan Ramadhan ini untuk membersih dan menggilap hati, kerana dikhuatiri segala amalan sepanjang bulan mulia ini kecil nilainya di sisi Allah atau lebih menakutkan andai ianya hanya sia-sia. Ini disebabkan kita melaksanakan amal ibadah tanpa membawa bersama hati yang penuh rasa kehambaan kepada Allah.

Kemenangan yang akan dicapai di hujung Ramadhan nanti adalah kejayaan mengembalikan hati kepada fitrahnya yang bersih. Tetapi hanya pabila nafsu dapat ditambat. Cara menambatnya adalah dengan menundukkan keinginan dan pergelutan dalam diri atau bermujahadah. Ini merupakan tugas hati dan harus seiring dan sejalan dengan amal ibadat kita.

Apabila ‘kemenangan’ ini dapat diraih, barulah mudah untuk melaksanakan semua perintah Allah dengan rela dan meninggalkan semua laranganNya tanpa dipaksa dan tingkat taqwa dapat dicapai dengan mudah dengan izin dan petunjuk dari Allah semestinya.

Allah telah menghadiahkan kegembiraan kepada kita dikala berbuka setelah bersusah payah menahan diri sepanjang hari. Demikian juga Allah akan menganugerahkan kita ganjaranNya setelah bersusah payah melawan keinginan nafsu dan menghadirkan hati dalam setiap amalan kita. Sudah tentu ganjaran Allah ini tidak ternilai harganya untuk dinikmati oleh segumpal darah yang bernama hati.

0 comments:

Post a Comment

 

Blogroll

Site Info

Kalam Admin

Ahlan wasahlan wamarhaban bikum. Semoga maklumat yang tertera dalam blog ini bermanfaat bersama

Mediczagazig3 © Copyright 2009 | All Rights Reserved by mediczagazig and PERUBATAN | Design by Unit Penerbitan PERUBATAN Zagazig
No part of the content or the blog to be reproduced without prior written permission.