Layari Laman Kami:

3.9.09

Merebut Hadiah Allah di Kem Ramadhan

Kalau ditamsilkan bulan Ramadhan al-Mubarak itu sebagai sebuah Kem Bina Insan maka sudah tentu setiap Muslim Berjaya merintangi ‘kursus’ sebulan Ramadhan itu akan menjadi seorang yang punya jati diri serta kekuatan mental, fizikal dan spiritual.

Sebuah kursus yang berjaya akan melahirkan peserta-peserta yang dapat mencapai tahap yang telah ditetapkan oleh penganjur kursus. Matlamat sebuah Kem Bina Insan atau kursus rohaniah sentiasa sahaja elok dan cantik, apatah lagi bagi ‘kem’ Ramadhan yang tatacara program dan silibusnya ditetapkan oleh Allah.

Dalam kem-kem atau kursus-kursus anjuran manusia, kegagalan mencapai objektif kursus dinilai daripada kesan penghayatan ilmu dan pendidikan yang disampaikan iaitu sebaik sahaja kursus tamat. Faktor-faktor kegagalan pula mungkin timbul dari pihak penganjur sendiri dan kegagalan peserta memahami, menghayati isi kandungan kursus atau juga atas sebab teknikal seperti tiadanya tindakan susulan(follow up).

Maha Suci Allah yang telah menetapkan ke atas umat Islam ibadah puasa sepanjang bulan Ramadhan. Setahun hanya 29 atau 30 hari. Inilah ‘kursus’ yang dirangka khas demi kebaikan dan kemaslahatan hamba-hambaNya yang beriman iaitu dengan matlamat menjadikan kita orang yang bertaqwa.

Dari zaman Nabi s.a.w inilah ‘standard’ puasa yang Allah telah tetapkan ke atas kita hambaNya. Satu rukun yang tidak berubah-ubah, tidak lekang dek zaman sehinggalah hari Qiamat, sepertimana rukun-rukun yang lain juga. Kesan dari menjalani ‘pakej ibadah’ sepanjang bulan Ramadhan dengan penuh ketekunan, keimanan. Kesabaran, keinsafan mengharapkan redha Allah, pasti lahir buah yang manis. Itulah sifat taqwa kepada Allah s.w.t.

Cuba lihat jadual tetap umat Islam sepanjang sebulan ‘kem’ Ramadhan itu.daripada ibadah puasa (zahir dan batinnya) , bertarawih, beristighfar, berbuka, bersahur, berzikir, bersedekah, berzakat, bermujahadah, berqiamullail, bertilawah serta banyak lagi amalan lain, semuanya disusun indah sebegitu rupa sebagai rahmat Allah untuk hamba-hambaNya yang beriman bagi mencapai sifat taqwa. Hanya dengan iman dan taqwa sahaja umat Islam layak mendapat rahmat, pembelaan dan kasih sayang Allah, seterusnya selamat dari api neraka.

Andainya kita sebagai peserta gagal mencapai matlamat ‘kem’ Ramadhan ini, ia pastinya berpunca daripada sikap kita yang cuai, lalai, lengah dan tidak serius dalam merebut tawaran hadiah dari Allah dalam menjalani ibadah dalam bulan berkat ini. Inilah yang patut kita renungkan dan insafi lantaran sudah berbelas atau berpuluh tahun kita mengikuti ‘kem’ ini.

Pada malam hari raya ketika takbir hari raya dilaungkan, adakah hati kita hiba lantaran terpaksa meninggalkan ‘kem’ Ramadhan yang entah bila akan kita sertai semula atau adakah sebaliknya?
Jika peserta yang gagal dalam kursus anjuran manusia tidak layak menerima sijil penyertaan dan hadiah pada hari terakhir kursus, maka peserta yang gagal dalam ‘kem’ Ramadhan pula tentunya tidak layak untuk mendapat hadiah dari Allah dan bergembira di hari kemenangan.

Oleh : Ustaz Amaluddin Mohd Napiah
Dipetik dari : majalah Anis bil 12

0 comments:

Post a Comment

 

Blogroll

Site Info

Kalam Admin

Ahlan wasahlan wamarhaban bikum. Semoga maklumat yang tertera dalam blog ini bermanfaat bersama

Mediczagazig3 © Copyright 2009 | All Rights Reserved by mediczagazig and PERUBATAN | Design by Unit Penerbitan PERUBATAN Zagazig
No part of the content or the blog to be reproduced without prior written permission.